Terkini: Kemenangan Milik Islam, Israel Laknatullah Diumum Kalah! #FreePalestine

Hamas umum menang di Gaza, hancurkan mitos Israel kebal

Gerakan Hamas mengumumkan kemenangannya ke atas Israel susulan pengumuman genjata senjata dan kesepakatan dalam perundingan di Mesir, Selasa lepas.

Perkara ini dinyatakan oleh jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri ketika menyambut pengumuman genjatan senjata itu, di sini semalam.

“Berkat kemuliaan Allah, pengorbanan rakyat, dan kegigihan gerakan penentangan, terutama Briged Izzudin Al-Qassam dan gerakan lain, hari ini kita menyatakan kemenangan kita atas kekuatan jahat Israel,

“Kita boleh meraih kemenangan yang selama ini belum dapat diraih pasukan negara-negara Arab. Hari ini, rakyat Palestin yang terkepung dan lemah boleh menang ke atas kekuatan jahat Israel. Kita dapat menghancurkan pasukan yang katanya tidak pernah kalah,” kata Sami yang dipetik dari laman Themalaysianinsider.com.

Sehubungan itu, Hamas juga mengizinkan penduduk Yahudi untuk meninggalkan tempat persembunyian dan kembali ke rumah mereka.

“Sekarang kami izinkan penduduk Yahudi, terutama yang berada di sekitar Tebing Gaza untuk kembali ke rumah mereka. Itu adalah izin Hamas, bukan daripada perdana menteri Netanyahu,” katanya.

Seorang lagi jurucakap Hamas, Fauzi Barhum, berkata;

“Kemenangan ini membuktikan hanya penyelesaian perlawanan dan senjata yang dapat memerdekakan Palestin. Perang ini tidak akan menjadi yang terakhir. Ini hanya satu pusingan daripada perang panjang membebaskan Masjidil Aqsa.”

Terdahulu, pemerintah kudeta Mesir yang menjadi orang tengah perundingan damai Gaza-Israel mengumumkan tercapainya kesepakatan damai antara Gaza dan Israel.

Kesepakatan itu bermula jam 7 malam waktu tempatan, Selasa dan gencatan senjata itu akan berlaku untuk jangka waktu yang panjang.

Di Ramallah, Presiden Palestin Mahmud Abbas berkata delegasi Palestin bersetuju dengan kesepakatan gencatan senjata di Gaza.

Sementara itu, delegasi Hamas dalam perundingan, Musa Abu Marzuq berkata rundingan yang berjaya memperoleh kesepakatan adalah kemenangan yang akan disematkan kepada seluruh rakyat Palestin.

Beberapa sumber dalam pemerintahan Palestin, seperti dilaporkan Aljazeera berkata antara yang dipersetujui ialah pintu sempadan dibuka, Tebing Gaza dibangunkan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk secepat mungkin.

Sementara itu, Reuters melaporkan, persetujuan gencatan senjata di antara Palestin dan Israel bagi menamatkan pergolakan berdarah di Gaza yang memasuki hari ke-50 kelmarin disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan gembira penduduk di wilayah ini.

Penduduk Palestin meraikan persetujuan tersebut dengan berkumpul dan berarak di jalan-jalan raya sambil membunyikan hon kenderaan masing-masing, selain corong pembesar suara di masjid turut memainkan lagu yang memuji kebesaran Allah.

"Perasaan saya ketika ini bercampur baur. Kami terluka setelah berlakunya banyak kematian, tetapi kami juga bangga kerana kami walaupun berperang secara bersendirian, tetapi perpaduan kami masih lagi kekal utuh," kata seorang penduduk Gaza yang dikenali sebagai Ahmed Awf.

Bagaimanapun, Israel yang enggan memberi maklum balas lanjut berkenaan persetujuan itu berkata, jika persetujuan itu dihormati, usaha membawa masuk bantuan makanan, perubatan dan bahan binaan bagi membangunkan semula Gaza akan berjalan dengan lancar.

"Israel tidak mempunyai sebarang masalah dengan penduduk awam yang menyatakan sokongan mereka ke atas Gaza, tetapi kami tidak mahu melihat Hamas membina semula kekuatan ketenteraan mereka," kata jurucakap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Mark Regev.

Israel berpendapat pergerakan Hamas kini sedang mengalami tamparan hebat selepas beberapa pemimpin sayap ketenteraan mereka terbunuh, selain terowong bawah tanah yang menghubungkan mereka dengan kawasan sempadan Israel dimusnahkan.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Jen Psaki berkata, pihaknya menggesa kedua-dua belah pihak mematuhi syarat perjanjian yang ditetapkan bagi memastikan gencatan senjata berkenaan 'bersifat kekal dan berterusan'.

"Kami melihat perkara ini sebagai satu peluang, bukan kepastian. Perjalanan masih panjang dan kita harus sentiasa menyedari akan perkara ini. Kita akan tangani masalah ini secara terbuka," kata Psaki. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com