Terkini #MH17: Hanya 62 Mayat Sempurna, Selebihnya Bertaburan Di Lokasi Nahas

Alor Setar – Perkembangan maklumat rasmi terkini yang diterima dari Pasukan Keselamatan Malaysia yang berada di Ukraine menjelaskan bahawa hanya 62 mayat nahas pesawat MH17 masih berada dalam keadaan baik ketika ditemui.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengetuai pasuka itu berkata, 62 mayat ditemui dalam keadaan baik manakala selebihnya masih belum ditemui dan dipercayai berselerakan di sekitar kawasan nahas.

"Bahagian mayat itu bertaburan di sekitar kawasan seluas 15 kilometer persegi, banyak kerja yang perlu dilakukan.

"Kita benar-benar berharap dapat sampai di lokasi kejadian dan memohon bantuan penduduk tempatan untuk mengenalpasti di mana bahagian mayat yang belum ditemui berada,” katanya yang dipetik menerusi satu wawancara eksklusif bersama sebuah stesen televisyen dari Kiev, di Ukraine.

Katanya lagi, walaupun pihaknya optimis dengan hasil siasatan yang dijalankan dengan bantuan pakar-pakar antarabangsa yang hadir, Khalid menjelaskan bahawa beliau kurang pasti tempoh siasatan dapat dilengkapkan sepenuhnya.

Selain itu, beliau sempat mengucapkan tahniah atas kejayaan dan komitmen tinggi yang ditonjolkan pasukan penyiasat, khususnya membabitkan proses pengecaman mangsa bencana (DVI) PDRM ketika mengendalikan mayat mangsa bersama dengan pasukan dari Belanda dan Australia.

"Pujian kepada DVI PDRM yang diterima bukan sahaja daripada pasukan petugas antarabangsa, malah daripada Menteri Luar Australia secara tidak langsung telah menaikkan imej dan kredibiliti PDRM," puji beliau.

Pasukan DVI PDRM diketuai oleh ACP Hussein Omar Khan, yang terdiri daripada 12 pegawai dan anggota telah memulakan tugas di Gudang Lama (Plant) yang digunakan sebagai tempat menerima serta menguruskan mayat penumpang nahas MH17 sejak 21 Julai lalu bersama-sama dengan 23 anggota pasukan Smart.

"Sebagai Ketua Polis Negara saya amat berbangga dengan pencapaian tersebut," katanya selepas bertemu dengan Pasukan Pengecaman Mayat Mangsa Bencana (DVI) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Hotel Reikertz, malam tadi. -KedahNews.com