Terkini: Sultan Selangor Mahu Calon MB Lebih Dari Dua


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa baginda mahu lebih dari dua nama calon Menteri Besar dipersembah sekiranya Pakatan Rakyat mahu menukar jawatan Menteri Besar yang disandang Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid sebentar tadi memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor.

Namun begitu, baginda menangguhkan hasrat Khalid itu sehingga proses perlantikan jawatan Menteri Besar yang baharu selesai.



Menurut Istana, Khalid akan kekal mentadbir negeri, sementara parti PAS, DAP dan PKR menyerahkan 3 nama untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar.

Khalid dilaporkan tiba di Istana Bukit Kayangan untuk menghadap Sultan Selangor pukul 2.20 petang tadi.

Kemudian, beliau turut dilaporkan menghadap Sultan bagi mendapatkan nasihat berkenaan isu Menteri Besar.

Terdahulu, PKR memecat Khalid setelah gagal menghadiri mesyuarat jawatankuasa disiplin parti tersebut.

PKR mencalonkan Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presiden, Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com