Terlepas Dari Tali Gantung Selepas 3 Tahun Direman


Mahkamah Tinggi Kuantan di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pekerja syarikat pengiklanan daripada tuduhan membunuh rakan sekerjanya, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu terhadap Lee Seng Kai, 33, selepas berpuas hati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Seng Kai, dari Taman Impianku di sini didakwa membunuh Cheng Tien Weng, 37, antara 11 malam, 10 Nov 2011 dan 5 pagi 11 Nov 2011 di sebuah hotel bajet di Jalan Mahkota di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Memetik semula laporan Bernama.com, Ab Rahman berkata terdapat sebilah pisau, baldi, masing-masing satu botol Coca-Cola dan Carlsberg di atas katil di bilik sewa mangsa yang mempunyai kesan darah, namun darah itu bukan milik mangsa atau tertuduh.

Selain itu katanya, terdapat rambut di atas katil sama, yang juga bukan milik kedua-dua mereka, sekali gus mengaitkan kewujudan orang ketiga di dalam kes berkenaan namun dia gagal dikesan untuk memberi keterangan.

Seng Kai diwakili peguam Bob Arumugam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com