Teruja Lihat Kelibat Bapa, Pelajar UITM Maut Terjatuh


KUALA SELANGOR – Seorang pelajar asasi sains Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam di sini maut selepas terjatuh dari tingkat empat asrama kediaman pelajar lelaki kampus berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam semalam.

Difahamkan sebelum kejadian Mohd. Ilyas Saifullah Md. Ashari, 18, sedang menunggu ketibaan bapanya yang mahu menjemput beliau pulang ke rumah.

Gembira mahu pulang, pelajar terbabit dipercayai naik ke tingkat empat blok asrama untuk mengambil barang keperluan namun mendapati pintu masuk asrama berkunci menyebabkannya bertindak untuk memasuki kediaman melalui tingkap.

Namun, Mohd. Ilyas dipercayai tergelincir lalu terjatuh di laluan pejalan kaki asrama berkenaan.

Sekumpulan pelajar yang berada di situ segera memanggil warden yang seterusnya mandapatkan ambulans serta memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa UiTM dan membuat laporan polis.

Sejurus kemmudian sebuah ambulans dari Hospital Sungai Buloh tiba tetapi Mohd. Ilyas disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di kepala sebaik tiba di hospital berkenaan.

Bapa pelajar berkenaan yang tiba serentak dengan ambulans berkenaan membawa pulang jenazah anaknya di kediamannya di Putrajaya.


Sumber : MYNEWSHUB.My