Tindakan Kepada Dua Adun Selangor Belum Diputuskan - Mustafa Ali


Shah Alam, 20 Ogos – PAS Pusat masih belum memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap dua orang AhlI Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang bertindak menyokong Presiden Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar serta membelakangi keputusan parti sebelum ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya sudah menerima surat laporan daripada PAS Selangor tetapi keputusan hanya akan dibuat selepas kemelut di Selangor selesai.

“Ya, kita dah terima laporan tapi tunggu dululah krisis politik Selangor selesai, lepas itu kita fikir apa nak buat.

“Buat masa ini, kita tangguh dulu, biar selesai isu menteri besar selesai,” katanya.

Merujuk kepada laporan, PAS Selangor menegaskan pihak mereka menyerahkan segala keputusan yang melibatkan dua Adun yang menyokong Wan Azizah sebelum keputusan muktamad dilakukan baru-baru ini kepada PAS Pusat.

Jelas Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, tindakan mereka menghantar laporan kepada PAS Pusat kerana tindakan Adun  Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin yang tidak menghormati keputusan Presiden PAS yang enggan menerima Wan Azizah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada ketika itu.

Pada 14 Ogos lalu, dua Adun PAS ini membuat satu tindakan mengejut dengan mengeluarkan kenyataan sanggup keluar daripada PAS sekirannya parti itu tidak menyokong Wan Azizah menkjadi Mentri Besar Selangor. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor