Tips Bagi Penggemar Rumah Konsep Inggeris

Pemilik kediaman ini begitu menitikberatkan aspek penataan di segenap ruang untuk persekitaran yang segar.

Ruang dapur dan ruang makan umpamanya turut diberi keutamaan sepanjang Syawal ini.

 Hakikatnya, Husna Zaleha Mustakim, 56, begitu berani menampil­kan kelainan pada konsep dekorasi pilihan.

Pencinta gaya ala Ing­geris ini juga tidak melepaskan peluang memanfaatkan konsep itu pada ruang dapur.

“Gaya ini begitu dekat dengan penggunaan warna lembut dan harmoni.

“Ia menjadi penataan yang amat digemari seisi keluarga,” katanya ketika ditemui di kediaman­nya di Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Dia selesa memilih warna putih dan krim sebagai latar utama kabinet dapur kerana impaknya dapat dirasai sepenuhnya.

“Apabila warna putih dan krim dipilih sebagai latar, ia antara mesej simbolik untuk kita mengekalkan persekitaran bersih sepanjang masa.

“Ruang dapur yang kemas membuatkan kami lebih selesa meraikan kunjungan tetamu,” katanya.

Ilham penataan itu lebih menonjol apabila diserikan dengan kemasan jubin khas dan berkualiti hingga mampu mencipta titik fokal tersendiri.

Ditambah dengan reka bentuk kabinet dapur yang eksklusif, segala perancangan dilakukan untuk menzahirkan suasana selesa sepanjang masa.


Ruang itu turut dimanfaatkan sebaik mung­kin dengan idea rekaan ruang makan santai serta kabinet dapur.

Kerusi makan santai rona putih lebih menambahkan keharmonian suasana. Malah, pengalaman berbeza dapat dinikmati sebaik menjamu selera di kaunter pulau dalam suasana santai.

Apek kemasan juga tidak diabaikan pada ruang bergaya ala Inggeris itu dengan beberapa dekotarif panel cermin hiasan bermotif menyerikan latar dinding.

Pencahayaan pada ruang itu turut memukau menerusi pemilihan lampu hiasan gantung.

Beberapa jambangan ringkas menghiasi ruang makan dan dekoratif buah-buahan hiasan di­letakkan pada sudut tertentu.

Idea dekorasi ala Inggeris itu tidak terhenti di ruang dapur saja kerana ruang makan utama dilihat ada kesinambungan­nya.

Paling utama tatahias meja berlatarkan set hidangan lengkap ala Inggeris.

“Semua ini untuk meraikan tetamu dan ‘berkarya’ menerusi dekorasi yang pada saya sekadar ‘biasa-biasa.’

“Sekurang-kurangnya tetamu rasa lebih dihargai dan selesa ketika menjamu selera ,” katanya yang mendapat sokongan moral suami, Abu Bakar Manap, 58.

Dalam usaha menam­pilkan kelainan, pilihan set perabot di ruang makan itu turut eksklusif dan mewah.

Dekoratif cermin hiasan bermotif menampakkan suasana lebih luas selain lampu candeliar menginspirasikan dekorasi hebat.

Sumber: MyMetro