Tragedi MH17,MH370 Tidak Jejas Semangat Sambutan Merdeka - Najib


Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berkata meskipun negara masih diselubungi suasana kesedihan ekoran tragedi pesawat MH17 dan MH370, namun komitmen untuk menterjemahkan semangat serta azam bagi menyemarakkan jiwa patriotisme dan memastikan kedaulatan bumi Malaysia tercinta masih perlu diteruskan.

Perdana Menteri berkata sesungguhnya inilah kehebatan rakyat negara ini yang sentiasa bersatu hati mengharungi apa jua cubaan dan rintangan sama ada ketika pilu atau gembira dengan jiwa kental bagi mendepani cabaran mendatang.

"Majlis dilancarkan hari ini membawa erti dan sangat signifikan kerana selain sebagai tanda memulakan perayaan bulan kemerdekaan yang cukup bermakna, (kita) juga perlu tunjukkan bahawa sebagai rakyat, kita sanggup melakukan tindakan untuk mengibar Jalur Gemilang.

"Tindakan memasang dan mengibar Jalur Gemilang lebih bermakna lagi sebab rasa dan jiwa patriotisme tidak boleh tersimpan dalam jiwa tetapi perlu dizahirkan secara terbuka bagi menunjukkan semangat rakyat Malaysia," kata Najib yang dipetik dari laman Bharian.com.my.

Najib berkata semangat bagi mengibarkan Jalur Gemilang sangat perlu dilakukan kerana ia merupakan simbol kebanggaan yang mewakili jiwa serta roh sesebuah negara bangsa serta sebagai identiti nasional yang menyatupadukan rakyat.

Tambah beliau, Jalur Gemilang juga mewakili nilai dan maruah sebuah pertiwi yang berdaulat dan merdeka selain menjadi tanda satu penghormatan dan kebanggaan serta lambang kemenangan apabila terus dilihat berkibar dengan megah dan gagah.

"Jalur Gemilang juga tanda solidariti dan kebersatuan rakyat yang berdiri teguh serta senantiasa bersemangat untuk mengibar dan menaikkan bendera kebanggaan negara itu.

"Jalur Gemilang juga bukan sekadar sehelai kain bercorak tetapi ia tersimpan sebuah pengertian dan seribu makna yang sangat mendalam," katanya lagi.

Najib berkata mengibarkan Jalur Gemilang bukan sahaja bagi melahirkan penghargaan kepada pejuang negara yang telah meletakkan asas pembangunan sebuah negara merdeka dan berdaulat, tetapi turut mencerminkan asas dan nilai sangat bermakna yang amat penting bagi sebuah negara untuk berjaya dan terus berjaya.

Beliau berkata tindakan mengibar Jalur Gemilang perlu disambut setiap lapisan masyarakat dengan penuh perasaan cinta kepada negara, keamanan dan keharmonian serta masa depan yang gemilang.

"Apabila di dalam lubuk hati kita, di dalam jiwa kita, di dalam roh kita, kita dapat hayati rasa cinta kepada negara, maka kita akan melakukan apa sahaja demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

"Tindakan mengibar Jalur Gemilang juga memupuk semangat cintakan negara dan menyambut kemerdekaan juga tanda negara telah melalui kisah negara berjaya bukan negara gagal, serta telah melalui proses transformasi, membasmi kemiskinan dan pembangunan infrastruktur," kata Najib.

Perdana menteri berkata tema tahun ini iaitu 'Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' adalah sangat tepat kerana inilah perasaan yang boleh dijadikan asas untuk mencapai status negara maju pada masa depan.- Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com