Saya memandang serius tuduhan salah laku yang dilemparkan
oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Dato’ Saifuddin Nasution. Saya menafikan
dakwaan ini kerana perkara tersebut tidak benar sama sekali.
Sekiranya Dato’ Saifuddin yakin beliau juga berada di pihak yang
benar, maka beliau dan rakan-rakan dalam KEADILAN sepatutnya membuat
laporan dengan kadar segera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), pihak polis dan Bank Negara Malaysia selain mendedahkan
sekiranya ada bukti-bukti bagi mengukuhkan dakwaan salah laku itu.
Kegagalan Dato’ Saifuddin dan rakan-rakan dalam KEADILAN untuk
berbuat demikian hanya akan mengundang spekulasi bahawa tuduhan-tuduhan
ini bermotifkan politik dan berniat jahat.
Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan kesediaan memberikan
sepenuh komitmen dan kerjasama sekiranya ada siasatan dijalankan
terhadap saya.
Saya mengingatkan rakan-rakan supaya berhati-hati membuat tuduhan
kerana saya berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap
kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadap saya.
Pada masa yang sama, saya akan meneruskan keupayaan memberi khidmat
terbaik kepada rakyat Selangor dengan mentadbir negeri ini secara telus,
bertanggungjawab dan pentadbiran yang baik.
YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
4 OGOS 2014