Kuala Lumpur, 19 Ogos – Tun Dr
Mahathir Mohamad menegaskan tindakannya mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak adalah bertujuan untuk menegur beberapa dasar yang dilihat tidak sesuai
dilakukan dalam pentadbiran negara dan tidak berhasrat untuk meminta Pengerusi
Barisan Nasional itu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Tun Mathathir berkata, catatan
terbaru di dalam blognya itu bukanlah bersifat peribadi dan ia dilihat satu
teguran yang membina kerana sehingga kini tiada pemimpin yang berani
menyuarakan pandangan terhadap pentadbiran Najib.
"Saya tidak kata dia (Najib)
patut letak jawatan, saya cuma tidak setuju dengan sebahagian daripada dasar
dia.
"Ia (teguran) itu bukan bersifat
peribadi. Orang lain tak tegur dia, jadi saya tegur la," katanya dipetik
melalui Bernama selepas melancarkan Institut Kecemerlangan Pengajian
Baitulmaqdis, Universiti Utara Malaysia (IEIJS-UUM) di sini hari ini.
Menurut Tun Mahathir lagi, apa
yang dilakukannya adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada Najib
terhadap segala kesalahan dalam mentadbir negara yang mungkin tidak disedari
oleh beliau.
Jelas Bekas Perdana Menteri itu,
beliau menyifatkan jika tiada sebarang teguran dibuat dalam pentadbiran Najib,
ia akan menyebabkan Perdana Menteri itu merasakan segala tindakan yang
dilakukannya adalah baik belaka.
Tambah Tun Mahathir lagi, dia berharap
tegurannya itu akan diambil secara positif dan Najib akan memperbetulkan segala
kesalahan tersebut kerana beliau pernah menyuarakan kritikan berkenaan sebelum
ini tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan di ambil.
Dalam perkembangan lain, Tun
Mahathir menyifatkan penubuhan IEIJS adalah satu perkara yang dapat membantu
memberi kefahaman dalam bentuk fakta kepada orang Islam berhubung apa
sebenarnya berlaku di Palestin.
"Tidak banyak kajian fakta
tentang Baitulmaqdis oleh ulama-ulama Islam. Hasil penubuhan institut ini, saya
berharap akan ada kefahaman yang lebih baik tentang apa jua yang berlaku di
sana," ujar Tun Mahathir lagi – KedahNews.com/Mohd
Shahir Shukor