KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad hari ini
menyarankan agar kerajaan menapis internet yang disifatkannya perlu
untuk melindungi ‘moraliti awam’.
“Saya tidak peduli betapa sucinya hak kebebasan, tapi saya berasa
sudah tiba masanya bagi kerajaan Malaysia menapis internet,” katanya
dalam posting terbarunya di blognya www.chedet.cc hari ini.
Beliau berkata, semasa menjadi Perdana Menteri pada mulanya beliau
berpendirian tidak perlu mengenakan sekatan atau menapis internet,
tetapi apabila membayangkan kesannya kepada masyarakat awam
menyebabkannya hari ini berubah fikiran.
“Internet berperanan besar dalam menggugat moraliti awam. Anak-anak
kita tidak lagi selamat daripada tededah unsur lucah daripada media
cetak dan elektronik.
Hari ini setiap kanak-kanak boleh mengakses kepada bahan pornografi.
Mereka tidak lagi selamat daripada gangguan seksual,” katanya.
Pada 1990-an, Dr Mahathir menekankan bahawa kerajaan tidak akan
menapis internet kerana ia sebahagian usaha menarik pelaburan
berteknologi tinggi ke negara ini.
“Tidak mengetahui ‘kuasa’ internet, saya berjanji bahawa kami (ketika
menjadi Perdana Menteri pada masa itu) tidak akan menapisnya,. Namun,
hari ini saya menukar fikiran saya,” katanya.
Mahathir yang aktif sebagai pengguna media sosial berkata, kandungan internet sebenarnya kini sudah pun ditapis.
Blognya pada minggu lalu disekat daripada diakses masuk ke dalam
akaun Facebook miliknya selepas beliau menyiarkan artikel ‘The Jews’
yang menyentuh isu Yahudi dan peperangan di Gaza antara Palestin-Israel.
Menurut Dr Mahathir, beliau sudah menukar “server” dan “platform”
sebanyak tiga kali tetapi cubaan menyekat blognya masih ada dan itu
tidak termasuk serangan spam dan virus.
Beliau berkata, terpulang kepada kerajaan melaksanakan sekatan kerana
pengendali dan pemilik server juga memainkan peranan apabila mereka
kadang-kala diarah mengikut telunjuk politik. – BH Online