Tun M Perlu Hormat Kepimpinan Semasa - Ahmad Zahid


Bangi, 20 Ogos – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghormati kepimpinan semasa yang di terajui Perdana Menteri, Datuk Sei Najib Tun Razak dalam menyuarakan sebarang pendapat dalam pentadbiran negara.

Ahmad Zahid berkata, Tun Mahathir bebas menyuarakan pendapat beliau sebagai seorang bekas Perdana Menteri tetapi ia harus dilakukan dengan cara yang betul bagi menghormati kepimpinan yang dilakukan oleh Najib ketika ini.

"Seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat perlu dihormati oleh semua orang, termasuk Dr Mahathir.

"Ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir menuntut kesetiaan daripada semua orang.

"Saya yakin (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut kesetiaan yang sama," katanya dipetik melalui Mstar pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Ahmad Zahid lagi, setiap komen dan pandangan negatif  dilakukan dalam media sosial terhadap pemimpin merupakan satu teguran peribadi yang sememangnya tidak digemari di kalangan ahli politik namum ia terpaksa diterima oleh mereka.

"Seorang pemimpin ditakrifkan oleh era beliau. Tidak ada media sosial sebelum ini tetapi sekarang ada banyak.

"Adalah penting untuk memahami bahawa komen-komen negatif itu adalah pendapat peribadi daripada pengguna media sosial termasuk Dr Mahathir," ujarnya lagi.

Jelas Ahmad Zahid, teguran tersebut langsung tidak mempengaruhi mana-mana pihak dari UMNO bagi memberi sebarang usul agar Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan Isnin lalu, Tun Mahathir telah menyuarakan kritikan terhadap pentadbiran dilakukan oleh Najib yang disifatkannya tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

Di sebabkan teguran yang dilakukan Tun Mahathir seolah-olah tidak diambil peduli, beliau telah mula hiliang kepercayaan terhadap kepimpinan Najid dalam beberapa dasar yang dijalankan Perdana Menteri itu.

Dalam kenyataan di dalam blognya, Tun Mahathir mendakwa pentadbiran Najid telah gagal dalam memulihkan prestasi buruk semasa Pilihan Raya ke -13 (PRU13) sebagai satu pengajaran dan dasar-dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri itu jelas memusnahkan hubungan antara kaum serta ekonomi negara. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor