PUTRAJAYA – Komuniti Islam tempatan di Belanda bersedia
memberikan bantuan kepada wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
untuk pengurusan pengendalian jenazah rakyat Malaysia yang terlibat
dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata persediaan untuk menguruskan jenazah oleh enam imam daripada
Jakim juga berjalan lancar dengan bantuan serta hubungan baik dengan
komuniti tempatan itu.
“Persiapan pengurusan jenazah di sana (Belanda) serta di sini
berjalan lancar. Setibanya di sini (Malaysia) pengurusan jenazah akan
dilakukan oleh saya serta Jakim bagi jenazah Islam manakala Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Kurup bagi jenazah bukan
Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis
Menandatangani MoU Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi Sekolah
Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) dengan Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) di sini hari ini.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal,
terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia
pada 17 Julai.
Pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu
dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga kini belum ada pihak mengaku
bertanggungjawab.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau meminta semua pemilik
sekolah agama rakyat (SAR) supaya berdaftar di bawah SABK supaya
mendapat manfaat seperti kemudahan pinjaman buku, prasarana serta
pendedahan latihan perguruan.
“Pendaftaran dengan SABK tidak menjadikan pihak lembaga sekolah tidak
mempunyai kuasa terhadap sekolah mereka, malah sekolah yang didaftarkan
adalah kekal di bawah bidang kuasa mereka,” katanya sambil menambah
masih banyak SAR yang tidak berdaftar dengan SABK.
Beliau berkata dengan mendaftar di bawah SABK, pelajar SAR bukan saja
berjaya dalam bidang agama semata-mata, malah dilengkapi dengan
akademik. – BERNAMA