Video Presiden PAS Tiba-Tiba "Viral" Di Laman Sosial


Video rakaman ceramah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba-tiba menjadi viral di kalangan pemerhati dan peminat politik tanahair apabila beliau secara berkias menyindir pedas beberapa pemimpin parti yang dipimpinnya.

Abdul Hadi yang baru saja dinobatkan sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, telah beberapa kali diperlakukan bagai "hampas kelapa" apabila pendirian dan keputusannya seolah-olah "dibakul sampahkan" beberapa pemimpin PAS.

Antara pemimpin PAS yang dikatakan sering "melangkau gerakan Tok Imam" ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad, dua Ahli Dewan Undangan Selangor, Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin, serta beberapa pemimpin PAS "bermulut celupar" yang lain.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah sebelum ini menggesa supaya kedua-dua ADUN berkenaan iaitu ADUN Hulu Kelang dan ADUN Morib itu dipecat dari PAS kerana melanggar disiplin jemaah parti dan mendahului arahan pemimpin.

"Pada pandangan peribadi saya, hukuman sesuai adalah pecat tetapi saya tiada kuasa, saya hanya bagi pandangan saya," kata Mohd Amar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

"Kecondongan" beberapa pemimpin PAS semakin terserlah dalam kemelut krisis Menteri Besar Selangor baru-baru ini apabila sebilangan mereka disifatkan lebih taat dan mendahulukan kemahuan presiden parti lain berbanding pendirian Abdul Hadi.

Berikut adalah video Abdul Hadi yang sengaja disiarkan dilaman Facebook peribadinya yang dijelaskan sebagai kiasan menyindir beberapa pemimpin PAS yang tidak beradab itu.