KUALA LUMPUR – Video yang dimuat naik menerusi laman sosial Instagram
dengan kapsyen “Bismillah..#hatiadasikitgentar” menjadi simpanan
anggota keluarga Allahyarhamah Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, 37,
pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) yang terlibat dalam nahas pesawat
MH17.
Video itu dirakam dan dimuat naik menerusi laman sosial Instagram
milik seorang penumpang pesawat MH17, Mohd Ali Mohd Salim sebelum
pesawat itu berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas
dan rakaman itu tersebar luas menerusi laman-laman sosial Internet.
Menurut sepupu Allahyarhamah Hamfazlin Sham, Roziawati Che Abdul
Aziz, 32, video dengan durasi 15 saat itu memperlihat kelibat
Allahyarhamah Hamfazlin Sham yang sedang menutup ruangan bagasi di dalam
perut pesawat.
Roziawati berkata, video itu kini disimpan sebagai tatapan setiap
kali beliau dan anggota keluarga lain merindui dan ingin melihat wajah
Allahyarhamah Hamfazlin Sham yang disifatkan sebagai seorang peramah.
“Walaupun hanya terlihat kelibat Allahyarhamah Hamfazlin sedang
menjalankan tugasnya di dalam perut pesawat, tetapi video itu amat
bermakna buat saya dan keluarga kerana sekurang-kurangnya kami dapat
melihat wajahnya,” katanya.
Roziawati berkata demikian kepada Bernama ketika dalam perjalanan
menuju ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Gombak, dekat sini
untuk upacara pengkebumian jenazah Allahyarhamah Hamfazlin Sham.
Sementara itu, adik bongsu Allahyarhamah Hamfazlin Sham, Hamnelly
Sham Mohamed Arifin, 34, berkata video itu menjadi bukti kukuh bahawa
kakaknya adalah seorang daripada anak kapal yang terlibat dalam tragedi
tersebut.
“Pada awal mendengar berita pesawat MH17 terhempas dan semua
penumpang termasuk anak kapal terkorban, kami sekeluarga berharap agar
Allahyarhamah Hamfazlin Sham tidak terlibat, tetapi setelah melihat
video itu, kami menerima takdir bahawa Allah lebih sayangkan dia.
“Saya ada menyimpan video itu, meskipun hanya sekejap dapat melihat
wajah kakak saya. Itu adalah kali terakhir saya melihat wajah beliau,”
katanya dalam nada sebak.
Jenazah Allahyarhamah Hamfazlin Sham adalah antara 20 jenazah mangsa
tragedi nahas MH17 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) di Sepang melalui penerbangan khas Malaysia Airlines dari
Amsterdam pagi tadi.
Sehingga kini, 30 jenazah warga Malaysia – termasuk 20 yang dibawa
pulang pada Jumaat – telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Amsterdam.
Pesawat MAS MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai dengan
mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal. -Mstar.com.my