Walau Malaysia Diserang Media Israel, Azeez Tetap Mahu Ke Gaza... #OpSaveGaza

KUALA LUMPUR – Kumpulan pertama misi kemanusiaan ke Gaza anjuran Biro Kebajikan Umno akan bergerak Rabu ini mengikut jadual seperti ditetapkan setakat ini.

Kumpulan enam orang itu antara lain akan membuat persediaan dan analisis awal bagi menentukan keadaan sepanjang perjalanan dan sewaktu di Gaza adalah selamat dan lancar.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kumpulan kedua yang dijadual bergerak pada 12 Ogos, akan bergantung kepada analisis kumpulan pertama berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup kursus dan latihan dua hari mengenai risiko pengurusan keselamatan dan kontigensi di sini, Ahad.

Sebanyak 65 peserta terdiri daripada doktor, media dan sukarelawan akan menyertai misi berkenaan dengan objektifnya di antara lain adalah bagi menyampaikan bantuan 40 tan metrik ubat-ubatan dan makanan.

Abdul Azeez yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) berkata kemungkinan anggota misi akan dibahagi kepada dua kumpulan, dengan satu kumpulan akan memasuki Gaza dan satu lagi akan ditempatkan di Mesir.

“Ini bagi memastikan antara lain komunikasi antara kumpulan di Gaza dan Malaysia lancar melalui kumpulan yang akan bersedia di Mesir,” katanya.

Sementara itu, Duta Palestin di Malaysia Dr Anwar al-Agha berkata keadaan di Gaza masih belum tenang setakat ini.

“Sebentar tadi semasa duduk di sini, saya mendapat berita bahawa 11 lagi orang mati syahid berdekatan Rafah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya kumpulan misi berkenaan yang majoriti anggotanya pernah memasuki Gaza sebelum ini telah membuat persiapan rapi dan memberi jaminan mereka akan mendapat kerjasama dan diterima baik masyarakat Palestin secara menyeluruh.

Dr Anwar yang berasal daripada Khan Younis, Palestin akan turut serta dalam misi berkenaan dan membantu dari segi koordinasi di dalam Gaza. – BERNAMA