Zuraidah Beri Tempoh Sampai Esok Pada MB Selangor



PETALING JAYA – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diberi tempoh sehingga Jumaat ini untuk menjawab surat tunjuk sebab kenapa beliau ingkar untuk berundur daripada jawatan itu.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin berkata, surat tunjuk sebab yang dihantar semalam itu adalah kerana Abdul Khalid masih belum akur dengan keputusan dibuat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR baru-baru ini.

“Setelah Abdul Khalid menjawab surat berkenaan, MPP parti dalam satu mesyuarat khas Sabtu ini akan membincangkan alasan ataupun jawapan yang diberikan beliau. Abdul Khalid perlu akur dengan keputusan MPP dan berundur dengan cara baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, PKR telah menghantar surat tunjuk sebab itu kepada Abdul Khalid setelah beliau enggan melepaskan jawatan sebagai menteri besar seperti diarahkan dan diputuskan oleh MPP.

Terdahulu itu, sidang media oleh Zuraida mengenai pendirian PKR Selangor berhubung bakal menteri besar menjadi kecoh apabila satu kenyataan media berasingan yang diedar dalam majlis yang sama bercanggah dengan kenyataaannya.

Kenyataan itu didakwa meminta nama Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa dan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali‎ turut dicadangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor selain nama presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Zuraida dalam kenyataannya pula menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan parti menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal menteri besar Selangor yang baharu.

Beliau bagaimanapun meminta media hanya menggunakan kenyataannya sebagai kenyataan rasmi PKR Selangor. – BERNAMA