3 Nama Calon MB Selangor: PAS Jelas Cerita Sebenar

PAS menegaskan bahawa pihak mereka telah menghantar tiga nama sebagai calon pengganti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, yang digulingkan partinya, PKR, baru-baru ini bagi memberi laluan kepada isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut PAS, mereka telah mengemukakan dua nama Adun PKR dan satu daripada parti itu sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu kepada pihak Istana, menjelaskan desas-desus yang ditimbulkan The Star.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun tidak menyebut nama ketiga-tiga Adun berkenaan.

"Buat masa ini nama tu biarlah dulu," kata Mustafa yang dipetik dari laman rasmi PAS, Harakahdaily, sebentar tadi.

Menurutnya, senarai nama itu dihantar terus oleh Pejabat Presiden PAS kepada Istana Selanngor bagi mematuhi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan supaya menghantar lebih daripada dua nama.

"Jadi lebih daripada dua nama, sekurang-kurangnya tiga," jelasnya berkenaan kandungan surat PAS yang dihantar ke istana, semalam.

The Star hari ini mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membariskan tiga nama Adun PAS untuk dipilih pihak istana sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

PKR dan DAP sebelum ini mengesahkan pihak mereka hanya menghantar isteri Anwar sebagai calon tunggal bagi menggantikan Khalid yang mereka gulingkan.

Semalam, PKR dilaporkan telah menerima surat dari pihak istana Selangor.

Surat tersebut dikatakan mengandungi pengesahan dari pihak istana yang menerima surat mengenai calon tunggal dari PKR itu, namun menegaskan bahawa Sultan Selangor tetap mahukan lebih dari satu nama sebagai calon Menteri Besar.

Surat itu juga dikatakan seolah-olah menyifatkan PKR tidak faham pada titah Sultan Selangor dalam surat rasmi baginda pada tarikh 27 Ogos yang mahu mereka mengemukakan lebih dari dua nama calon bagi menggantikan Khalid.

PKR dikatakan telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai surat dari istana tersebut, namun mereka menarik balik kenyataan media itu.

Tindakan menarik balik kenyataan media itu menimbulkan spekulasi bahawa PKR tidak mahu mendedahkan kelemahan mereka yang seolah-olah tidak faham pada kehendak Sultan Selangor. -KedahNews.com