Abby Dakwa Bekas Suami Larikan Wang Berpuluh Ribu Miliknya

Bekas anggota kumpulan Elite, Abby Abadi mendakwa bekas suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar telah melarikan wang berjumlah puluhan ribu ringgit miliknya dan bertindak "menghilangkan diri".

Menurut Abby, 37, dia pernah menuntut wang berkenaan secara baik dari Farhan, 24, namun tidak diendahkan sehingga memaksanya membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas suami keduanya itu.

Aktivis PAS yang mendapat jolokan "ustazah segera" itu menjelaskan bahawa dia pada mulanya tidak mahu memperbesar kes tersebut, namun terpaksa berbuat demikian ekoran respon Farhan yang mendiamkan diri.

"Kalau ikutkan dari awal lagi saya tak nak kaitkan dia lagi dan besar-besarkan kes ini tapi usaha saya untuk menuntut semula hak saya secara baik tidak dilayan," katanya yang dipetik dari media, baru-baru ini.

Sebelum bercerai, Farhan ada berjanji akan memulangkan semula wang yang dia pinjam daripada Abby sebelum Ramadhan untuk membeli sebuah kereta buat bekas adik iparnya pada April lalu.

Bagaimanapun, Abby menjelaskan bahawa Farhan dikatakan gagal melunaskan hutang tersebut walau dituntut berkali-kali.

Abby dan Farhan bercerai talak satu pada 11 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur.

"Janji-janji daripada dia kononnya untuk lunaskan wang itu daripada sebelum bulan puasa sampai bawa ke hari raya lalu langsung tidak ditunaikan."

"Nak tak nak pada 25 Ogos lalu saya terpaksa buat laporan di Balai Polis Taman Melawati untuk tindakan selanjutnya," kata Abby ketika dihubungi media mengenai konflik dengan bekas suaminya itu.

Abby berkata, dia bertindak sedemikian untuk mengajar bekas suaminya yang masih muda itu supaya bersikap bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan.

"Saya harap tindakan undang-undang ini akan memberi pengajaran kepadanya yang bersikap lepas tangan selama ini," kata Abby.

Abby atau Arbaieyah Abdul Manan berkata dia mahu bersemuka dengan Farhan secepat mungkin.

Namun begitu, Abby mendakwa Farhan masih gagal dihubungi dan langsung tidak ada inisiatif untuk menyelesaikan masalah itu sehingga ke hari ini. -KedahNews.com