"Abby Karut!", Kata Farhan

Muhammad Noor Farhan Che Bakar tampil memberi jawapan sebenar atas tuduhan Abby Abadi yang sebelum ini mendakwa dirinya telah melarikan wang milik bekas isterinya itu yang berjumlah puluhan ribu ringgit.

Farhan menegaskan bahawa tuduhan Abby tersebut adalah karut dan berniat jahat untuk mecemar reputasi serta memalukan dirinya di khalayak umum.

Bekas suami aktivis PAS tersebut dalam kenyataannya menjelaskan pernah meminjam wang dari bekas isterinya itu bagi tujuan menolong adiknya yang berhajat membeli sebuah kereta.

Namun Farhan menegaskan bahawa jumlah wang yang dipinjam dari Abby tidaklah mencecah puluhan ribu ringgit sebagaimana yang digembar-gemburkan.

"Dakwaannya itu sengaja untuk merosakkan reputasi dan memalukan saya," jelas Farhan lagi yang dipetik dari Mstar.

Selain itu, Farhan juga memberitahu bahawa dia tidaklah "gila" untuk meminjam wang dalam jumlah yang banyak memandangkan dia menyedari kedudukan dirinya yang berasal dari keluarga yang kurang berada dan tidak memiliki gaji yang tetap setiap bulan.

"Tidaklah sampai berpuluh ribu ringgit dan saya bukannya anak orang kaya sehingga sanggup berhutang dengan jumlah yang banyak tambahan pula gaji saya tidak tetap," katanya.

Farhan turut memberitahu bahawa dia pernah cuba membayar kembali wang yang dipinjam dari Abby sebanyak RM5,000, namun bekas isterinya itu menolak.

Katanya lagi, Abby memaksanya membayar wang yang dipinjam secara penuh dan mendakwa jumlah wang yang cuba dibayar bekas suaminya itu terlalu sedikit berbanding jumlah yang dipinjam.

"Saya pernah minta untuk bayar sebahagian wang berkenaan tetapi dia enggan menerimanya dengan alasan jumlahnya terlalu sedikit."

"Saya benar-benar kesal dengan sikapnya itu," tambah Farhan yang enggan mendedahkan jumlah sebenar hutang tersebut.

Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abd Manan, 37, baru-baru ini membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Farhan atas tuduhan melarikan wangnya berjumlah puluhan ribu ringgit serta enggan membayar kembali wang tersebut.

Abby dan Farhan bernikah pada 9 Julai 2013 di Selatan Thailand, namun tidak sampai setahun pasangan itu disahkan bercerai pada 9 Mei lalu. – NorhayatiShaharun/KedahNews.com