Adun PAS Kedah Pertahan Penubuhan PasMa

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi, menafikan penubuhan sebuah parti baharu untuk menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat berikutan isu perlantikan Menteri Besar Selangor yang semakin meruncing ketika ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) berkata, pertubuhan itu adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi fokus kepada isu politik tanah air dan cenderung kepada pengukuhan pakatan pembangkang.

Katanya, PASMA adalah NGO peringkat nasional yang ditubuhkan pada 10 Ogos lalu dan ia terbuka kepada semua pihak tanpa mengira latar politik tetapi mahu turut serta berbincang dan menyuarakan pandangan mereka mengenai isu membabitkan pengukuhan Pakatan Rakyat di luar konteks parti politik.

"Kita tidak ganti sesiapa dalam pakatan sebab kita bukan parti politik, saya sendiri masih bersama PAS dan tidak berganjak sampai sekarang. 

"Cuma PASMA ini kita tubuhkan untuk bagi platform kepada mereka yang mahu berbincang hal hal politik atas kecenderungan untuk mengukuhkan pakatan.

"Kalau dalam parti ia agak terbatas sebab kita terikat kepada banyak perkara dan peraturan parti...agak terhad untuk kita berbincang. 

"Jadi ini peranan PASMA kita bagi ruangan, kita bincang soal politik untuk kebaikan Pakatan Rakyat yang amat penting sebagai alternatif kepada rakyat. 

"Pengukuhan Pakatan Rakyat ini, memberi pilihan kepada rakyat untuk memilih sama ada kerajaan atau pembangkang yang kuat untuk kestabilan negara," katanya ketika dihubungi di sini. -BH Online