Adun PAS Sedia Jadi Calon DAP Pada PRU14?

Hasnul Baharuddin

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin sedia menjadi calon DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sekiranya diminta berbuat demikian oleh parti berkenaan.

Hasnul yang merupakan ADUN PAS menyatakan pendirian tersebut ketika berucap dalam satu Majlis Makan Malam anjuran DAP semalam.

Dalam kenyataan tersbut, Hasnul menegaskan dia sudah bersedia menerima sebarang tindakan daripada PAS sekiranya keputusan tersebut mendapat tentangan daripada pemimpin parti itu.

"Segala kemungkinan yang saya kira akan saya hadapi, saya bersedia...

“... tak kisah, saya tak jadi calon Pas pun tak apa, saya boleh jadi calon DAP,” katanya dipetik Sinar Harian.

Merujuk kepada laporan berhubung krisis di Selangor, tindakan dua ADUN PAS di Selangor yang menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menimbulkan kemarahan para pemimpin tertinggi parti itu kerana PAS  awal-awal lagi telah menyatakan sokongan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

PAS sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan tatatertib ke atas dua orang ADUN tersebut kerana menentang keputusan yang telah dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Hasnul menyifatkan tindakannya itu sebagai satu bukti kesetiaan terhadap Pakatan Rakyat (PR) tanpa mementingkan kepentingan peribadi sebagi seorang ahli PAS.

Jelasnya lagi, dia mahu parti komponen dalam PR sentiasa bekerjasama tanpa memikirkan kepentingan peribadi bagi memastikan agenda mereka ke Putrajaya menjadi satu kenyataan pada masa hadapan.

“Kita (Pas, PKR, dan DAP) mesti teruskan (hubungan) bersama Pakatan Rakyat kerana kita tidak mempunyai pilihan lain untuk menumbangkan Umno dan BN. Formula sokongan ketiga parti ini amat penting, kerana  ia dapat mewujudkan suasana harmoni dan penuh keadilan antara kaum di negara ini,” tegasnya. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor