ISLAM sebuah agama yang penuh dengan kasih sayang dan kebahagiaan.
Sesiapa sahaja berpeluang untuk memperbaiki diri dan memperoleh
kedudukan yang mulia di sisi Islam. Syaratnya mudah iaitu dengan
bertakwa dan beramal soleh kerana Allah SWT.
Sudah menjadi lumrah manusia, sering melakukan salah dan dosa. Tidak
ada insan yang bebas daripada sebarang dosa iaitu maksum, melainkan
junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.
Begitu pun, agama Islam sering kali memberikan peluang kepada
hamba-hamba-Nya untuk bertaubat dan menjadi manusia yang lebih baik.
Sebanyak mana dosa yang pernah dilakukan, pintu keampunan itu sentiasa
ada. Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan mintalah ampun kepada Tuhanmu, kemudian kembalilah bertaubat kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku Maka Penyayang Maha Pengasih. (Hud: 90)
Perkataan ampun diulang lebih 50 kali di dalam al-Quran dan
menunjukkan betapa penting dan besarnya nilai keampunan di sisi Allah
SWT. Hanya Dia yang mampu mengampunkan dosa-dosa kita yang begitu banyak
dan membebaskan kita daripada azab api neraka di akhirat nanti.
Allah berfirman yang bermaksud:
Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan yang keji atau menganiaya dirinya sendiri (melakukan dosa), mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa mereka melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). (Ali Imrah: 135)
Begitu juga firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 106 yang
bermaksud:
Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Menghapuskan dosa
Memohon keampunan di dalam Islam cukup mudah dan boleh dilakukan oleh
sesiapa sahaja. Tidak ada ritual-ritual tertentu yang perlu dilakukan
untuk menghapuskan dosa-dosa silam. Cara memohon ampun kepada Allah
telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan menjadi kewajipan kepada kita
semua untuk ittiba (mengikuti) apa yang telah diajarkan olehnya
sebagai jalan untuk beribadah kepada Allah SWT.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud:
Demi Allah, Aku beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya lebih 70 kali dalam sehari. (riwayat al-Bukhari)
Di dalam riwayat Imam Muslim disebutkan bahawa Nabi melakukannya sebanyak 100 kali sehari.
Sungguh mengagumkan bagi orang yang berfikir. Nabi Muhammad yang
maksum (bebas daripada dosa) dan telah dijamin syurga sendiri
beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Ini tidak lain dan tidak bukan
untuk mengajar kepada kita bahawa amalan itu begitu penting dan besar
kedudukannya di sisi Allah SWT sehingga baginda SAW melaziminya
sepanjang hari.
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, para sahabat
Nabi SAW pernah melihat baginda duduk dan beristighfar sebanyak 100
kali. Nabi SAW membaca: Rabbighfirli wa tubb alayya innaka
antattawwaburrahim.
Istighfar terbaik
Antara bacaan istighfar yang juga pernah dibacakan oleh Rasulullah
SAW ialah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Masud r.a:
Astaghfirullahal aziim allazi la ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaih. (riwayat Abu Daud)
Istighfar yang paling baik disebut sebagai Sayyidul Istigfar yang
bermaksud penghulu segala istighfar sebagaimana yang disebutkan oleh
Nabi SAW:
Sayyidul Istighfar ialah siapa yang menyebutkan Allahumma Anta Rabbi la ilaha illa Anta khalaqtani wa ana abduka wa ana ala ahdika wa wadika mastatotu, aauzubika min sharri ma sonatu, abuuulaka binimatika alayya wa abuuu bizanbi, faghfirli fainnahu la yaghfiruzzunuba illa anta (Ya Allah ya Tuhanku, engkaulah Rabbku. Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menciptakanku. Aku adalah hamba-Mu. Aku akan setia pada perjanjianku dengan-Mu semampuku. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan yang aku lakukan. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku. Oleh itu ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau. (iwayat al-Bukhari)
Itulah antara lafaz istighfar yang diajarkan oleh Nabi SAW kita.
Kesemuanya mengandungi nilai akidah dan berserah diri yang mendalam.
Semoga kita dapat beramal dengannya. -Utusan