Ahli Parlimen DAP Mahu PAS Kedah Label Ustaz Lotfi Sebagai Pengganas


PAS perlu menjelaskan pendirian untuk tidak mengkagumi Allahyarham Mohd Lotfi Ariffin yang terkorban di medan perang negara konflik Syria dan menegaskan bahawa bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Kedah itu sebagai pengganas.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, beberapa pemimpin PAS disifatkan bagai mengkagumi Mohd Lotfi dan setuju dengan perjuangan ustaz yang berasal dari Kuala Ketil itu hingga menyebabkan kekeliruan tentang pendirian parti mengenai aktiviti yang melibatkan keganasan.

"PAS harus konsisten dengan pendiriannya terhadap keganasan dan ia mesti menegaskan kembali pendiriannya itu susulan kenyataan beberapa pemimpin PAS yang kelihatan mengkagumi jalan yang dipilih oleh Mohd Lotfi yang dilapor syahid di Syria.

"Kita tidak seharusnya menyokong keganasan atas alasan apa sekali pun," katanya Ahli Parlimen DAP itu, sekaligus menganggap bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Kedah itu sebagai "pengganas" yang tidak wajar disanjung.

Setiausaha Dewan Ulama Pas Kedah, Ahmad Yahaya sebelum itu berkata, Mohd Lotfi adalah antara pemimpin lama dalam PAS Kedah sejak menyertai Dewan Pemuda dan pernah dilantik sebagai Exco Pemuda Pas Kedah.

Menurut Ahmad Yahya lagi, jasa Ustaz Lotfi terhadap parti tetap dikenang dan  akan diingati sebagai seorang pendakwah dan pendidik ketika menjawat Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Kedah sebelum berhijrah ke Syria untuk berjihad dan gugur di negara bergolak tersebut.

Difahamkan bahawa Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam anak yang kini tinggal di Kedah. -KedahNews.com