KUALA LUMPUR – Berita mengenai rancangan pemindahan makam Nabi
Muhammad S.A.W yang disiarkan oleh akhbar Britain ‘The Independent’
adalah suatu pembohongan, kata Pertubuhan Pendidikan Sains dan
Kebudayaan Islam (ISISCO).
Dalam siaran akhbar yang dihantar kepada Bernama hari ini, ISISCO
yang berpangkalan di Rabat, Mahgribi, mengecam sekeras-kerasnya dakwaan
tidak berasas dalam artikel ditulis oleh wartawan akhbar itu, Andrew
Johnson.
Akhbar itu pada hari ini menyiarkan artikel itu yang menyebut
cadangan kontroversi itu terkandung dalam satu dokumen kajian yang
disediakan oleh seorang tokoh akademik Arab Saudi.
Laporan itu menyebut makam Nabi Muhammad S.A.W akan dipindahkan
daripada kedudukannya sekarang dalam Masjid al-Nabawi di Madinah ke
kawasan perkuburan Baqi yang terletak berdekatan masjid itu dan pihak
berkuasa Arab Saudi sedang berbincang berhubung cadangan itu.
ISISCO berkata laporan tidak bertanggungjawab itu merupakan suatu
pembohongan besar berpunca daripada rasa benci dan konspirasi terhadap
umat Islam dan kerajaan Arab Saudi yang menjadi tuan rumah kepada
tempat-tempat suci Islam.
Tuduhan palsu itu juga bertujuan untuk mewujudkan kekeliruan dan
kekacauan yang mampu mengancam keselamatan dan perpaduan serta
memburukkan lagi keadaan di rantau ini di mana peperangan dan keganasan
antara agama berlaku, menurutnya.
ISISCO menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya tidak mempercayai
tuduhan jahat itu dan berkata makam Rasulullah S.A.W akan kekal di
tempat mulianya sehingga hari kiamat.
ISISCO juga menuntut pihak berkuasa Arab Saudi menyaman penulis dan akhbar yang menerbitkan artikel pembohongan itu. – BERNAMA