Akta Hasutan 1948: Pensyarah UM Didakwa Dengan Dua Pertuduhan

Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi Sharom tiba di Mahkamah Jalan Duta dengan peguamnya Gobind Singh hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 2 September, 2014.

Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi Sharom berdepan dengan dua dakwaan dibawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya tentang krisis Perlembagaan Perak di Mahkamah Seksyen Jalan Duta hari ini.

Namun, Azmi tidak mengaku bersalah dan mahu dibicarakan atas tuduhan mengenai kenyataannya menerusi artikel dilaporkan sebuah portal berita pada 14 Ogos 2014 bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu). 

Azmi berdepan dengan dakwaan mengeluarkan kata-kata hasutan yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) (b), Akta Hasutan 1948.

Beliau juga didakwa dengan satu lagi dakwaan kerana menerbitkan kenyataan menghasut mengikut Seksyen 4 (1) (c), akta sama.

Beliau dikatakan melakukan kesalahan tersebut di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 15 Ogos.

Kedua-dua kesalahan boleh menyebabkannya dipenjarakan maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-dua sekali.

Timbalan Pendakwaraya Suhaimi Ibrahim mencadangkan wang jaminan dikenakan RM5,000 dengan seorang penjamin. Peguam Azmi, Gobind Singh Deo mengatakan anak guamnya menerima tawaran itu.

Hakim Mahkamah Seksyen, Zainol Rashid Hussain menetapkan tarikh 3 Oktober untuk pendengaran kes.

Azmi menjadi ahli akademik pertama yang didakwa dibawah akta yang sama bersama beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain dalam masa dua minggu ini, iaitu Rafizi Ramli dan N Surendran dari PKR, Khalid Samad dari PAS serta RSN Rayer dari DAP.

Juga yang kini dalam perbicaraan kerana tuduhan menghasut ialah Teresa Kok (DAP) dan Chua Tian Chang (PKR), sementara Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS) didakwa atas tuduhan membuat fitnah dua tahun lepas. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com