Akta Hasutan Tidak Dimansuhkan - Nancy


Nancy Shukri

Johor Baharu, 7 September – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri menegaskan kerajaan pusat tidak akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dalam masa terdekat walaupun mendapat banyak desakan daripada beberapa pihak berhubung perkara berkenaan.

Nancy berkata, akta tersebut masih penting dalam memastikan keselamatan serta perpaduan antara kaum terjaga dan pihak kerajaan perlu mengambil masa bagi mengkaji draf Rang Undang-Undang Kehormonian Nasional yang dirancang bagi menggantikan Akta Hasutan.
.
"Memang Perdana Menteri sudah menyatakan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 tetapi kerajaan tidak akan memansuhnya sehingga ada akta gantian.

"Setakat ini kita belum merangka draf Rang Undang-undang Keharmonian Nasional yang akan menggantikan Akta Hasutan 1948 walaupun ada pihak mendakwa kita sudah merangkanya dan akan dibentang (di Parlimen) tahun depan," katanya dipetik Sinar Harian selepas merasmikan seminar literasi undang-undang "Wanita Bistari Masyarakat Bahagia".

Menurut Nancy lagi, pihak Jabatan Peguam Negara sedang menjalankan kajian bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi mencari maklumat dan maklum balas daripada masyarakat di negara ini bagi menghasilkan kandungan yang paling tepat dalam membentuk rang undang-undang tersebut.

Tambah Nacy lagi, rang undang-undang tersebut perlu selaras dengan matlamat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mementingkan aspek perpaduan dikalangan rakyat bagi memupuk perasaan hormat menghormati antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Namun begitu, Nancy berkata, dengan wujudnya pelbagai permasalahan yang berlaku di media sosial menyebabkan kerajaan sukar menyiapkan rang undang-undang berkenaan dengan segera dan ia merupakan satu cabaran besar kepada mereka yang terlibat dalam penggubalan akta baharu itu. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor