#AktaHasutan: Bekas Ketua Polis Negara, Bekas Hakim Mahu Akta Kekal

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak akan mencapai status negara maju menjelang 2020 sekiranya undang-undang pencegahan jenayah seperti Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

Bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan berkata keamanan dan kemakmuran negara akan terjejas sekiranya tiada sebarang penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas terhadap sesuatu jenayah.

Beliau berkata cadangan kerajaan untuk memansuhkan akta tersebut perlu dikaji semula kerana ketiadaan akta yang menghalang mana-nama pihak untuk menghasut rakyat boleh menjejaskan keharmonian dan pembangunan negara.

Beliau berkata demikian ketika menjadi anggota panel program Bicara Kemerdekaan 'ISA Masih Relevan atau Tidak' anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini, Sabtu.

Sementara itu, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, yang turut menjadi anggota panel, berkata beliau berharap agar kerajaan tidak membuat kesilapan kedua dengan memansuhkan Akta Hasutan.

"Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) itu adalah kesilapan besar, patutkah Akta Hasutan dimansuhkan? Jangan buat kesilapan kedua. Malah, ia perlu ditambah baik lagi supaya lebih mantap," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, yang juga seorang daripada anggota panel, berkata Akta Hasutan bukan saja perlu dikekalkan malah ditambah baik demi menjaga kepentingan keselamatan negara. - BERNAMA