Alat pencegah kehamilan biasanya
lebih sinonim kepada golongan wanita atau isteri. Sejak sekian lama beberapa
alat pencegahan kehamilan telah dibangunkan seiring dengan kemajuan teknologi
perubatan bertujuan untuk merancang kehamilan.
Biarpun terdapat beberapa kaedah
pencegahan kehamilan membabitkan pihak lelaki, kaedahnya terhad seperti penggunaan
kondom atau pembedahan vasektomi atau pemandulan.
Begitu pun dalam tempoh tiga
tahun akan datang golongan lelaki bakal mempunyai lebih banyak pilihan dalam
penggunaan alat pencegah kehamilan, yang tidak perlu melibatkan penggunaan
kondom.
Ujian terhadap alat pencegah
kehamilan baharu berbentuk suntikan, Vasalgel, ini menunjukkan keputusan yang
cukup meyakinkan.
Ketika ini ia sedang dibangunkan
oleh Yayasan Parsemus, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang giat menjalankan
penyelidikan perubatan yang berbentuk penyelesaian masalah pada kos yang
rendah.
Pertubuhan itu berharap kaedah
baharu itu akan lebih murah, bertahan lama dan boleh diterbalikkan (kembali ke
asal).
Vasalgel adalah hidrogel polimer
yang akan disuntik ke dalam vas deferens iaitu tiub yang menyalurkan sperma ke
zakar.
Gel tersebut akan bertindak
menyekat pengaliran sperma, sekali gus menghindari kehamilan.
Mereka berkata, prosedur ini
mempunyai kesan yang sama jika melakukan pembedahan vasektomi (pemandulan),
tetapi kurang berbahaya memandangkan ia tidak memerlukan pembedahan dan tiub
vas deferens hanya disekat dengan gel, bukan memotongnya.
Mereka juga berharap kaedah
pencegahan hamil ini lebih murah dengan kosnya tidak melebihi daripada harga
sebuah TV skrin leper.
Dalam ujian yang sedang dilakukan
ketika ini terhadap babun, tiga haiwan tersebut disuntik dengan alat pencegah
hamil Vasalgel. Setiap babun tersebut kemudian diletakkan di dalam sangkar
bersama 10 hingga 15 babun betina.
Selepas enam bulan, tiada seekor
pun babun betina tersebut bunting.
Apa pun ujian tersebut masih
berjalan dan menjelang akhir tahun ini, Yayasan Parsemus yakin akan mendapat
lebih banyak maklumat mengenai sama ada Vasalgel tersebut berkesan atau
sebaliknya.
Mereka menambah, jika segalanya
berjalan lancar pihak penyelidik merancang untuk menjalankan ujian klinikal ke
atas manusia bermula tahun depan.
Antara kelebihan alat pencegah
kehamilan ini, keadaan boleh kembali ke asal. Maksudnya, jika lelaki tersebut
mahu sekatan tersebut dihapuskan, satu lagi gel polimer boleh disuntik untuk
membuang Vasalgel yang menyekat sperma.
Produk tersebut mempunyai asas
sama dengan satu lagi alat pencegah hamil lelaki yang sedang dibangunkan
dipanggil RISUG.
Kedua-duanya, RISUG dan Vasalgel
bertindak pada prinsip penggunan gel bagi menyekat tiub vas deferens, tetapi
dengan formula berbeza.
Apa yang tidak disebut oleh
Yayasan Parsemus ialah berapa lama suntikan Vasalgel boleh bertahan sebagai
alat pencegah hamil, namun setakat ini suntikan RISUG dikatakan boleh bertahan
untuk 10 tahun.
Jurucakap dari Yayasan Parsemus
berkata: Kami sedang berusaha untuk memasarkan
Vasalgel secepat yang mungkin, tetapi ujian dari aspek keselamatan dan
keberkesanannya perlu diselesaikan dengan betul.
Vasalgel
ketika ini diuji pada haiwan. Ujian pada manusia dijangka bermula awak tahun
2015 dan antara 2015 hingga 2016 untuk ujian lebih besar.
Jika semuanya berjalan lancar dan kita memperoleh cukup sokongan daripada orang
awan, kami berharap dapat mengeluarkan Vasalgel di pasaran pada
2016-2017," kata jurucakap tersebut.
Yayasan itu juga dijangka akan
merayu sumbangan daripada orang awam bagi membiayai ujian klinikal ke atas
manusia pada tahun depan.
Kaedah lain pencegah hamil untuk
lelaki
Satu lagi alat pencegah hamil
untuk lelaki yang sedang diperingkat awal kajian adalah pill cadar bersih atau orgasma kering.
Ubat ini boleh diambil sebelum
melakukan hubungan seks, yang akan membuatkan tiada pengeluaran air mani ketika
orgasma (puncak syahwat).
Lelaki tersebut masih merasai
nikmat orgasma yang sama tetapi tiada air mani dikeluarkan.
Para penyelidik merancang untuk
mereka ubat yang akan memberi kesan dalam tempoh beberapa jam selepas
pengambilannya, tetapi akan hilang keberkesanananya dalam tempoh 24 jam.
Lelaki hanya akan mengambil pil
tersebut jika diperlukan iaitu sebelum melakukan hubungan seks.
Sumber: Agensi