Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataannya yang
mendakwa Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail
tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor kerana kurang berkebolehan menjadi
pemimpin untuk mentadbir negeri itu.
Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad
menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi itu seolah-olah tidak
menghormati semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat memandangkan dia merupakan
seorang presiden kepada parti komponen tersebut.
"AMK Malaysia percaya
mana-mana pemimpin tidak terlepas daripada kemungkinan kelemahan dan ini
seharusnya menjadikan mereka lebih demokratik dan tidak meminggirkan
kepentingan untuk sama-sama berganding bahu dalam membuat keputusan,"
katanya dipetik Bernama.
Tambah Nik Nazmi lagi, kebolehan
Wan Azizah tidak perlu dipertikaikan lagi kerana dia telah menjadi Presiden PKR
sejak 1999 dan pernah diangkat sebagai ketua pembangkang pada tahun 2008.
"Beliau mencipta sejarah
membina gagasan parti politik pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara
yang memberi peluang kepada begitu ramai wanita turut serta sebagai pemimpin di
pelbagai peringkat,” ujarnya lagi.
Nik Nazmi berkata, AMK sangat
kesal dengan kenyataan tersebut dan dia berharap Abdul Hadi menghormati
keputusan dibuat oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang mahu melantik Wan
Azizah sebagai calon tunggal bagi jawatan Menteri Besar Selangor.
Merujuk laporan berita semalam ,
Abdul Hadi menegaskan PAS tidak akan meletakkan nama Wan Azizah sebagai Menteri
Besar Selangor kerana dia dilihat tidak berkebolehan menjadi seorang pemimpin
bagi menerajui pentadbiran di Selangor.
Menurut Abdul Hadi lagi, tindakan
PAS menolak Wan Azizah bukan disebabkan dia seorang wanita tetapi Presiden PKR
itu tidak mempunyai syarat yang perlu ada sebagai seorang pemimpin. –KedahNews.com/Mohd
Shahir Shukor