Bekas penyanyi kumpulan Grand, Amy mengaku salah dan berjanji untuk menjelaskan segala hutang-hutangnya kepada individu terlibat secara berperingkat.
Amy atau nama sebenarnya Zuraimi Remeng yang popular pada awal tahun 2000 berkata, dia tidak berniat untuk menipu sesiapa dan memohon maaf terhadap kesilapannya itu, lapor mStar Online.
“Dengan rendah diri saya ingin memohon ampun dan maaf kepada kawan-kawan saya di FB (Facebook), kenalan dan saudara-mara. Terutama sekali ahli keluarga saya, sekiranya tanpa sengaja saya telah mendatangkan kesan buruk terhadap kamu semua.
“Dengan nama Allah saya tidak menafikan bahawa saya ada membuat kesalahan tetapi tidak berniat menipu, kerana sebab musabab yang tidak dapat saya jelaskan,” katanya dalam posting Facebook miliknya yang dicatatkan kira-kira pukul 9.30 malam Rabu lalu.
Sebelum ini, penyanyi Kristal iaitu Razlan meluahkan rasa kecewa apabila bekas vokalis kumpulan muzik yang juga pengurus acara telah melarikan wang persembahan pentasnya berjumlah ribuan ringgit.
Razlan atau lebih dikenali sebagai Lan turut memuat naik gambar penyanyi berkenaan di laman Instagram miliknya pada 31 Ogos lalu dengan memberi amaran untuk mengambil tindakan jika individu itu gagal mengembalikan wang berkenaan.
Lan dijemput menjayakan acara karaoke Merdeka Contest di Plaza Pelangi, Johor pada 24 Ogos lalu yang turut dikendalikan oleh bekas vokalis tersebut.
Dalam pada itu Amy turut berasa terhina dengan apa yang telah berlaku kerana pendedahan berkenaan mengaibkannya, menutup periuk nasi serta merosakkan hubungan kekeluargaan.
Malah katanya, ia juga memberi kesan kepada isteri dan anak-anaknya yang turut menerima tempias berkenaan.
"Saya harap kepada yang tidak berkenaan tu janganlah menambah minyak di dalam api, kerana ia belum berlaku pada diri kamu.
“Walau apa pun saya manusia biasa dan akan laksanakan tanggungjawab saya sebagai manusia untuk membayar semula hutang piutang itu selagi ada nafas ini tetapi berilah saya masa,” tegas Amy dalam FB miliknya.
Lan berkata, dia tidak akan sesekali percaya pada Amy dan mendakwa individu itu gemar menggunakan ayat-ayat manis untuk memperdayakan orang.
"Saya akan selesaikan perkara ini mengikut lunas undang-undang. Saya sudah menyampah dengan kata-katanya.
"Sebelum (saya) tau pasal dia kaki penipu, bolehlah terima kata-katanya tetapi bila dah kena (tipu), sorry la,” tegas Lan. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com
"Sebelum (saya) tau pasal dia kaki penipu, bolehlah terima kata-katanya tetapi bila dah kena (tipu), sorry la,” tegas Lan. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com