KUALA LUMPUR – Penyanyi Amy (Search) menjelaskan hubungan dia dengan
anaknya, pelakon Nabila Huda menjadi lebih akrab terutamanya selepas
tegurannya mengenai kontroversi gambar percutian Nabila bersama teman
lelakinya.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 56, berkata, Nabila
sudah banyak berubah dan lebih kerap menghubunginya bagi memaklumkan apa
yang sedang dilakukannya.
"Alhamdulillah semuanya memang semakin baik terutamanya hubungan kami
anak-beranak selepas insiden lalu, perubahan pada diri dia sendiri
semakin matang.
“Walaupun jarang berjumpa tapi dia (Nabila Huda) hari-hari berhubung
dengan saya melalui mesej WhatsApp untuk bertanya khabar dan bercerita,”
ujarnya kepada mStar Online.
Amy berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hubungan mereka
yang renggang gara-gara penyanyi itu menegur anaknya di laman Instagram
dengan nada kasar selepas Nabila memuat naik gambar percutian dengan
kekasihnya di luar negara.
Bagaimanapun, pada sambutan Hari Raya pertama lalu, Amy telah
berkongsi gambar dia sekeluarga di Instagram dengan meletakkan status
syukur kerana akhirnya dia dan Nabila sudah berbaik semula.
Tambah Amy, dia sangat bahagia dan gembira dengan perubahan Nabila
yang dilihatnya semakin matang dan hubungan mereka yang semakin baik.
Dalam pada itu, ditanya tentang hubungan cinta Nabila dengan seorang
lelaki yang menjadi punca perbalahan mereka itu, Amy berkata dia tidak
pernah menghalang sesiapa juga pilihan hati anaknya itu.
“Saya tidak halang dia berkawan dengan sesiapa pun cuma saya mahu dia
memilih seorang lelaki yang baik dan boleh menjaganya. Sebagai bapa
saya sentiasa doakan yang terbaik buat dia,” katanya.
Sementara itu, Amy berkata apa juga kejadian dan kontroversi yang
berlaku terhadap anaknya itu ia adalah satu kisah perjalanan hidupnya
untuk menjadi lebih baik.
Dia tidak pernah meletakkan kesalahan tersebut kepada pelakon itu
kerana setiap manusia mempunyai perjalanan hidup yang mengajar mereka
menjadi seorang manusia.
“Saya pun pernah melalui kehidupan remaja dan bukan seorang yang
sempurna, jadi saya anggap apa yang dia lalui sekarang ialah perjalanan
hidup dia yang akhirnya mengajar dia menjadi seorang manusia yang lebih
baik,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh soal kerjaya, Amy berkata, dia akan
mengadakan persembahan solo di Singapura pada 20 September ini manakala
bersama kumpulannya Search pula dijadualkan pada Disember depan.
Dalam perkembangan yang sama, Amy juga dalam proses menyiapkan album
solo terbaharunya yang memuatkan sebanyak 10 buah lagu setelah 13 tahun
tidak merakamkan album.
Menurutnya, album tersebut merupakan sebuah projek istimewa yang
menampilkan dia dalam sisi yang lebih segar dengan membawakan kesemua
lagu genre terkini.
“Album solo ini merupakan kemunculan saya selepas 13 tahun tidak buat
album, kali ini pula saya akan bawa lagu-lagu baru seiring dengan zaman
ini.
“Walaupun saya tahu ada peminat Search yang masih mahu saya menyanyi
lagu lama, namun saya rasa sudah masanya saya mencari kelompok peminat
baru dengan lagu-lagu yang mengikut trend semasa,” ujarnya. – mStar Online