Anwar Didakwa Dibawah Akta Hasutan?


Penasihat Undang-Undang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa Koya mengesahkan mengenai laporan berhubung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkemungkinan akan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 ketika memberi ucapan di Gombak pada tahun 2011.

Latheefa yang merupakan salah seorang daripada peguam berkata, Anwar mungkin akan menjadi mangsa terbaru di bawah akta berkenaan selepas peguam utamanya, N Surendran yang telah ditahan oleh pihak berkuasa atas kesalahan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam kes liwat ketua pembangkang itu.

Menurut Latheefa lagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang telah mengeluarkan arahan kepada Anwar agar hadir ke Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada hari Jumaat lalu, jam 3.00 petang bagi menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Tambahbya lagi, Anwar  bersama-sama peguamnya, N Surendran yang telah dibebaskan baru-baru ini ke Ibu Pejabat PKR bagi memberi keterangan berhubung dakwaan tersebut.

Menurut sumber yang dipetik menerusi Malaysia Insider, Anwar didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam ucapannya di Gombak pada 25 Mac 2011 apabila mengaitkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribu.

Selain itu, para penyokong PKR turut mencetuskan kekecohan dalam ceramah tersebut ketika pihak berkuasa cuba menghentikan ceramah tersebut ketika Anwar sedang berucap di dalam majlis itu.
.
Turut hadir dalam ceramah itu ialah Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, yang pernah diambil kenyataannya oleh polis berhubung ucapan yang dibuat berkaitan kempen itu.

Sebelum ini, pihak berkuasa telah mengarahkan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali memberikan keterangan mengenai ucapannya dalam ceramah tersebut.

Jelas Latheefa lagi, tindakan polis membuka semula kes berkenaan sengaja dilakukan bagi mendakwa Anwar di bawah akta tersebut. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor