Apa Erti Jihad, Syahid Dan Syurga Yang Sebenar...


DUNIA sekarang menyaksikan umat Islam berperang dan berbunuhan sesama sendiri, seolah-olah agama membenarkan peperangan dan pembunuhan.

Golongan yang mengaku berjihad atas nama Islam, atas nama negara Islam, atas nama tentera khalifah juga, akan memancung kepala sesama Islam.

Hal ini amat mengelirukan kerana Islam tidak membenarkan pembunuhan kecuali di dalam kes-kes tertentu yang amat kecil perangkaannya.

Malah antara kesalahan pertama yang diharamkan oleh Islam ialah perbuatan manusia zaman jahiliah yang membunuh anak-anak mereka yang baru dilahirkan.

Al-Quran di dalam surah Al-An’am (6) ayat 151 menerangkan dengan jelas di antara perkara yang diharamkan ialah perbuatan membunuh anak-anak.

Maka ALLAH SWT menerangkan bahawa sekiranya pembunuhan bayi itu dilakukan kerana takut tidak dapat diberikan makanan kepada mereka, maka ALLAH yang memberikan rezeki kepada anak-anak itu, malah ALLAH jugalah yang memberikan rezeki kepada mereka yang membunuh anak-anaknya itu.

Dengan ini ternyata bahawa jiwa dan nyawa manusia itu adalah sesuatu yang suci dan perlu dipelihara, sebab itulah ALLAH melarang manusia dengan sekeras-kerasnya jangan membunuh orang dan jangan pula membunuh diri sendiri.

Malah ajaran agama menuntut manusia memelihara nyawanya, sehinggakan jika seseorang itu akan mati jika dia tidak memakan makanan yang haram seperti bangkai, maka dia hendaklah memakannya untuk memelihara kelangsungan nyawanya.

Jadi apakah nyawa manusia yang begini suci dan sewajibnya dipelihara, akan begitu mudah pula dihapuskan seperti yang berlaku di dalam masyarakat manusia pada hari ini termasuk sesama Islam sendiri, yang sewenang-sewenangnya membunuh dan mengambil nyawa orang lain begitu mudah sekali, malah membunuh diri sendiri untuk membunuh orang lain seperti yang dilakukan oleh pembunuh berani mati.

Al-Quran banyak sekali menerangkan kepada manusia bahawa pembunuhan adalah haram dan ditegah kecuali di dalam beberapa situasi yang tertentu.

Hal inilah yang sangat perlu difahami oleh umat Islam sendiri terutamanya di dalam masyarakat Islam sekarang ini yang telah menjadi amat lumrah bahawa segala pertikaian di antara mereka haruslah diselesaikan dengan peperangan, walaupun peperangan itu dilakukan tanpa hak dan justifikasi yang diizinkan syarak.

Pada zaman permulaan Islam, ketika Rasulullah SAW mulai menyeru manusia untuk menganut agama tauhid, mengesakan ALLAH dan melakukan amalan yang dibawa oleh Islam, Islam hanya membenarkan peperangan dilakukan ke atas musuh yang menyerang baginda, seperti yang disebutkan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 190:
"Dan berperanglah pada jalan ALLAH orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batasan (iaitu dengan memulakan peperangan) kerana ALLAH tidak menyukai orang yang melampaui batasan".
Peperangan ini dilakukan demi untuk menegakkan agama ALLAH yang suci, iaitu ketika musuh mencuba menentangnya dengan kekerasan untuk menggagalkan usaha Rasulullah maka pada ketika itu baginda haruslah bertindak mempertahankan agama dan dirinya dengan mengangkat senjata.

Namun begitu baginda tidak seharusnya menyerang mereka secara zalim dan melampaui batas.

Dalam keadaan ini, maka pembunuhan yang berlaku sesama Islam, malah pertumpahan darah yang berlaku di bumi para nabi dan rasul sekarang ini adalah satu tindakan yang terang-terang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar, walaupun terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa masing-masing berjihad kerana hendak menegakkan hukum ALLAH.

Oleh itu para belia dan angkatan muda Islam haruslah mempelajari dan memahami dengan semasak-masaknya isu ini dari perspektif Islam sebelum terpengaruh dengan pengajaran yang hanya akan memerangkap mereka dalam dosa atas gambaran syahid dan syurga, sedangkan perbuatan yang dilakukan adalah berlawanan dengan konsep syahid, jihad dan janji syurga yang sebenarnya.

Penulis merasakan bahawa kita di Malaysia masih menghormati nilai-nilai tamadun dan peradaban Islam serta memahaminya dengan baik. Oleh itu para generasi baru Islam haruslah memahami konsep dan falsafah perjuangan Islam yang di namakan jihad untuk mati syahid dan menerima balasan syurga itu.

Amat malang sekali bila kita membaca berita terkini bahawa terdapat umat Islam dari negara kita, walaupun hanya segelintir, yang turut berjuang di Asia Barat dengan kumpulan tertentu sedangkan hakikat sebenar perbuatan mereka itu tidak mereka fahami dengan sebaik-baiknya dari segi ajaran syariah Islamiah sendiri.

Sekali lagi penulis ingin menekankan supaya pihak kerajaan, penguasa agama dan masyarakat Islam di negara kita mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang kedudukan hukum dan fatwa sebenar bagi pertumpahan darah dan pembunuhan yang berlaku di negara-negara Islam sekarang ini supaya masyarakat Islam di negara kita tidak terjebak dengan perangkap dosa ini.

Sumber: Sinar Harian