Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menegaskan rakyat seharusnya bersyukur dengan pelbagai kemudahan dan subsidi yang diberikan oleh kerajaan pusat dibawah pimpinan Barisan Nasional kepada semua penduduk di negara ini.
Ahmad Maslan berkata setiap bantuan dan subsidi yang diberikan BN dapat membantu rakyat dalam menampung perbelanjaan harian mereka dalam tempoh 3 bulan.
Jelas Ahmad maslan lagi, semua subsidi yang diberikan oleh BN merangkumi semua penduduk di negara ini tidak mengira fahaman politik kerana tujuan utama kerajaan pusat mengurangkan beban rakyat bagi menjalani kos kehidupan yang semakin meningkat ketika ini.
"Jika kita campur Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan, subsidi minyak, diesel, tepung, beras dan gas memasak, pada saya tiga bulan kehidupan kita ini ditaja oleh kerajaan BN dalam masa setahun.
"9 bulan sahaja kita cari kehidupan kita dengan kerja-kerja yang kita ada sekarang. Malam ini saya buka satu persatu.
"Bukan ingin mengungkit tetapi mengingatkan kita mempunyai kerajaan yang baik, bertanggungjawab dan menjaga rakyat," katanya dipetik Malaysia Insider ketika berucap di hadapan kira-kira 100 masyarakat Siam di Wat Machimaram malam tadi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar telah mengumumkan hasil kajian yang dilakukan oleh kerajaan pusat berhubung peningkatkan purata pendapatan isi rumah 2014 yang meningkat sebanyak RM900 ringgit berbanding tahun 2012.
Ujar Abdul wahid, peningkatkan tersebut menunjukkan ekonomi di negara ini semakin berkembang pesat dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar naik sebanyak 6.3 % dalam tempoh separuh tahun pertama.
Selain itu, Ahmad maslan turut mengumumkan mengenai kenaikan sebanyak RM300 akan diberikan oleh kerajaan pusat dalam BR1M pada tahun hadapan akan membantu rakyat menampung pembelanjaan harian mereka dalam tempoh dua bulan.
"Tahun depan kita akan tambah BR1M. Kalau tahun ini RM650 campur RM50 insurans, ia menjadikan RM700. Kalau kekal RM700 tahun depan, kerajaan akan tambah RM300 lagi menjadikan sekurang-kurangnya BR1M pada tahun depan RM1,000.
"RM1,000 sudah cukup untuk makan minum empat orang satu keluarga. Jika RM500 satu bulan, dua bulan sudah ditanggung oleh kerajaan BN. PAS ada bagi apa? PAS tak bagi apa-apa," jelasnya lagi.
Menurut Ahmad Maslan merangkap Ketua Penerangan UMNO, bagi keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai, banyak bantuan sudah disediakan bagi membantu mereka tetapi ia mungkin tidak disedari oleh rakyat.
"Anak-anak ke sekolah dapat RM100 bantuan persekolahan. Kalau rajin 'kerja malam' 10 anak, RM1,000 dapat. Jangan lupa perkara itu. Anak yang mengaji tinggi, baucar buku pun dapat.
"Subsidi minyak masak 1kg RM1.50, subsidi tepung 1kg RM1.00, subsidi gas memasak 16kg RM20 setiap satu tong kerajaan bagi subsidi.
"Setiap kali tuang minyak RON95, 1 liter 73 sen kerajaan bagi subsidi," tambah Ahmad Maslan lagi. –KedahNews.com/ Mohd Shahir Shukor