Jeddah - Imej dan prestasi pekerja profesional warga Malaysia yang
cukup cemerlang terutama jururawat membuatkan permintaan untuk khidmat
mereka di beberapa hospital di Arab Saudi meningkat.
Sehingga, kini terdapat lebih 600 jururawat terlatih menabur bakti
di beberapa hospital di Jeddah dan mereka ditawarkan dengan imbuhan dua
hingga empat kali ganda berbanding apa yang dinikmati di negara asal.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak
berkata, selain boleh berbahasa Inggeris, pesakit juga dikatakan lebih
selesa untuk mendapatkan khidmat jururawat warga Malaysia yang lebih
baik dan terlatih.
Beliau berkata, peranan profesional
Malaysia seperti arkitek, pegawai teknikal dan jurutera memang sentiasa
diiktiraf Kerajaan Arab Saudi, malah masih banyak ruang boleh diisi oleh
warga Malaysia di dalam sektor berkenaan di negara ini.
Mengulas
lanjut, beliau meminta rakyat Malaysia di negara ini terus mengekalkan
imej positif bagi memastikan warga Malaysia terus dihormati bukan saja
oleh rakyat tempatan, malah pihak berkuasa Arab Saudi.
“Imej
baik membolehkan setiap usaha yang hendak dilakukan akan mendapat
kerjasama mudah daripada kerajaan Arab Saudi dan pada masa sama
menaikkan imej Malaysia di mata dunia.
“Malah, saya
mengalu-alukan kehadiran lebih ramai rakyat Malaysia berkelayakan untuk
menaburkan khidmat dalam pelbagai bidang yang masih kosong di negara
ini,” katanya selepas majlis sambutan Hari Malaysia di pejabat Konsulat
Jeneral Malaysia, semalam. -myMetro