Artis Curi Telefon Bimbit, Bakal Ke Penjara Jika Gagal Bayar RM5,131!


Artis kelahiran Singapura, Aliff Aziz, yang sering "tenggelam timbul" dalam industri hiburan tanahair kali ini benar-benar "panas" apabila menerima padah dijatuhkan hukuman bersalah atas tuduhan mencuri dua telefon bimbit, baru-baru ini.

Menurut sumber, Aliff dihukum denda RM5,131 dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, maka dia bakal dipenjara selama 20 hari sebagai ganti.

Kesalahan itu dilakukan pada Mei lalu apabila Aliff Aziz mencuri telefon berjenama HTC One dan Samsung Note 1 milik dua individu berbeza.

Menurut kertas pertuduhan, Aliff, atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, didakwa mencuri dua telefon bimbit berjenama HTC one dan Samsung Note 1, yang setiap satu bernilai RM2,052.

Telefon itu dimiliki seorang individu bernama Yong Kit Siong.

Aliff dikatakan mencuri telefon bimbit itu bersama seorang lagi lelaki bernama Muhammad Nurazlee Roslee pada atau sekitar 12.01 tengah malam pada 24 Mei lalu di kolong blok Blok 36 Tanglin Halt Road.

Bagi kesalahan mencuri, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali. 

Aliff didakwa di mahkamah buat kali pertama pada 16 Ogos lalu.

Menurut pihak pengurusan Aliff di Malaysia, mereka meminta agar diberikan sedikit masa untuk membuat kenyataan berhubung kes yang melibatkan artis mereka itu.

Rata-rata peminat Aliff di Singapura malah di Malaysia pasti terkejut dan kecewa dengan tindakan artis kesayangan mereka yang berkelakuan sedemikian rupa.

Aliff Aziz sebelum ini dikatakan sering menimbulkan masalah kepada mereka yang mendapatkan khidmatnya sebagai pelakon dan penyanyi ekoran selalu "hilang" dari lokasi penggambaran.

Diharapkan artis yang popular dengan lagu "sayang sayang" itu insaf dan berfikir secara matang pada masa hadapan jika hendak melakukan sesuatu perkara yang boleh memalukan diri sendiri dan menjatuhkan reputasinya sebagai seorang artis berbakat besar. -Norhayati Shaharun/KedahNews.com