Artis K-Pop Terkenal Korea Dibenar Keluar Hospital

Anggota kumpulan Big Bang, Seungri yang terlibat dalam kemalangan ngeri kira-kira dua minggu lalu dilaporkan telah dibenarkan keluar dari hospital baru-baru ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh YG Entertainment pada 25 September lalu setelah 14 hari Seungri ditahan di wad.

Walaupun Seungri dibenarkan pulang, anggota kumpulan Big Bang itu perlu meneruskan rawatan di hospital secara berkala.

"Semalam (24 September), pihak agensi menenangkan kerisauan peminat dengan laporan terbaru mengenai Seungri yang sudah berpindah ke wad rawatan biasa selepas dimasukkan ke wad ICU,'' kata wakil dari agensi tersebut.


Ramai yang berpendapat bahawa oleh kerana Seungri dibenarkan pulang, maka pihak polis dapat menjalankan siasatan lanjut mengenai kes kemalangan artis K-Pop digilai ramai itu tempoh hari.

Semasa kejadian, Seungri yang memandu Porsche dilaporkan telah melanggar sebuah Mercedes Benz hingga menyebabkan keretanya terbalik di tempat kejadian sebelum melanggar tembok pembahagi jalan.-NorhayatiShaharun/KedahNews.com