MUTAKHIR ini kita lihat semakin
ramai individu yang seakan-akan terlupa menjaga nilai moral dan kesopanan diri.
Sehingga ada yang berani
melanggar batas kesopanan dan kesusilaan atas tiket hak asasi manusia.
Kes-kes yang melibatkan moral dan
mendapat liputan meluas serta menjadi viral dalam media sosial seperti kes
berbogel beramai-ramai di Teluk Bahang, model memakai pakaian dalam dan
menjalani sesi fotografi di tempat awam, mengamuk dan bergaduh di jalan raya,
kes buli membabitkan pelajar perempuan dan lelaki, rasuah dalam kalangan
masyarakat serta banyak lagi masalah moral lain.
Semua yang disebut itu menjadikan
masyarakat kita semakin hilang nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan sehingga
menjejaskan perpaduan.
Ya, kita telah 57 tahun merdeka
tetapi pemikiran dan tingkah laku segelintir masyarakat kita tidak seiring
dengan usia kemerdekaan negara. Hal-hal sedemikian membuktikan kepincangan
dalam minda dan tingkah laku masyarakat kita.
Sedangkan rakyat Malaysia telah
disedarkan sedari peringkat persekolahan agar menghormati dan menghayati
prinsip Rukun Negara bagi menjamin keharmonian negara.
Kesopanan dan kesusilaan
Sumber dari Portal 1Malaysia
menyatakan Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos, 1970 sempena ulang tahun
kemerdekaan Malaysia yang ke-13. Ia diperkenalkan berikutan Peristiwa 13 Mei,
1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia.
Rukun Negara dibentuk dengan
tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung
dalam Rukun Negara jelas adalah kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum
demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.
Satu daripada prinsip yang
digariskan ialah Kesopanan dan Kesusilaan. Mengikut prinsip ini, setiap orang
dan kumpulan dalam masyarakat adalah dikehendaki bertindak dan berkelakuan
secara sopan dan susila.
Ia haruslah mempunyai moral yang
tinggi, menghormati orang lain dan menghindarkan diri daripada membangkitkan
persoalan-persoalan yang sensitif kepada sesuatu kaum.
Contohnya, hal-hal yang berkaitan
dengan ketaatan seseorang rakyat atas dasar asal keturunan kaumnya, bahasa,
kebudayaan serta agama dan kepercayaan.
Menurut Profesor Dr Rohaty Majzub
dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prinsip Kesopanan dan Kesusilaan itu
sendiri menjelaskan bahawa ia menjadi teras kepada pembangunan manusia dan
masyarakat.
Tanpa tatasusila, pelbagai
penyakit masyarakat akan timbul kerana mereka bebas berbuat apa yang mereka
suka tanpa mempedulikan undang-undang.
Nilai-nilai kesantunan itu nampaknya
kian merosot dalam diri masyarakat baik dalam generasi X mahupun generasi Y.
"Nilai-nilai itu mungkin
merosot berbanding dengan generasi sebelumnya. Ini boleh dilihat daripada tutur
kata yang meninggi dan kebebasan yang terlampau.
Liberalisme, materialisme dan
individualisme; sifat ini mungkin menyebabkan individu sebegini menjadi 'self
centered' dan menjaga kepentingan diri sendiri sahaja", ulas Prof Dr
Rohaty.
Cara luahan perasaan
Menurut beliau, ia mungkin
disebabkan oleh perasaan ingin menzahirkan rasa kecewa mereka terhadap sesuatu
perkara. Mungkin juga kerana mereka tidak berpuas hati atau ada keperluan
tertentu yang tidak dipenuhi.
Maka secara langsung atau tidak
langsung mereka protes untuk menarik perhatian atau menunjukkan kemarahan
mereka atau menyalahkan orang lain selain diri mereka.
Prof Dr Rohaty bagaimanapun
berpendapat ia bukanlah berpunca daripada kegagalan dalam penerapan nilai-nilai
murni yang dirangka dalam bidang pendidikan.
Menurut beliau, pelan pembangunan
pendidikan negara sebenarnya adalah holistik malah mementingkan perkembangan
menyeluruh dan seimbang bersama nilai murni.
"Saya berpendapat pelan
tersebut adalah sempurna dan baik tetapi yang tidak berkesan adalah dari segi
pelaksanaannya", sambung beliau.
Ini kerana fokus masyarakat
adalah lebih kepada pencapaian gred peperiksaan bagi mendapatkan 14A berbanding
penekanan terhadap penyemaian nilai murni dan akhlak yang baik.
Kesan jangka panjang
Pengabaian terhadap nilai-nilai
yang ditekankan dalan prinsip kelima Rukun Negara ini dibimbangi akan
menambahkan lagi kepincangan ke atas keharmonian negara.
"Jika dibiarkan negara akan
bertambah pincang malah kes jenayah kecil dan besar akan bertambah sehingga
menjejaskan ketenteraman awam. Ia perlu dibendung secepat mungkin supaya jangan
menggunung".
"Banyak faktor yang terlibat
dalam menganalisis keadaan ini. Antara faktor dalaman terjadinya tingkah laku
menyeleweng adalah ketiadaan 'role model' atau mithali yang baik yang digauli
sejak kecil", katanya.
Malahan jika berlaku secara
berkumpulan, ia akan menjadi ikutan kerana mereka menjadi lebih berani dan
berasa kuat dalam kumpulan.
Beliau turut berpendapat wujudnya
batu api yang besar dan berpengaruh yang menyiram minyak ke dalam api.
Kadangkala ada pula kumpulan
tertentu yang diperalatkan bagi kepentingan orang lain.
Melihat kepada sikap hormat
menghormati yang semakin berkurangan dan berlaku secara terang-terangan kini,
Prof Dr Rohaty berpendapat sikap itu kini tidak hanya berlaku dalam kalangan
orang biasa tetapi turut ditunjukkan oleh kalangan pemimpin.
"Kita semua perlu dan wajib
bertanggungjawab memastikan ketenteraman awam. Seboleh mungkin kita tidak mahu
gangguan yang mengacau hidup kita. Yang baik jadikan teladan dan buruk jadikan
sempadan".
Beliau menyatakan masyarakat
Malaysia seharusnya bersyukur atas apa yang ada dan membandingkan dengan
keadaan di Gaza, Afghanistan dan keadaan pelarian di merata tempat.
Selain itu, beliau melahirkan
pandangan bahawa pendidikan terbaik adalah bermula dari rumah. Ibu terutamanya
tidak perlu menanamkan prejudis dan stereotaip kepada anak yang masih muda
supaya membenci sesuatu kaum.
Ibu bapa perlu menjadi model
keamanan dalam negara yang mempunyai pelbagai budaya ini sejak negara merdeka.
Falsafah hidup yang murni perlu
disemai seawal mungkin terhadap anak supaya mereka dapat melihat peta yang
jelas. Jangan nanti sehingga mereka menjadi sampah masyarakat dan memberi kesan
buruk kepada masyarakat, keluarga dan diri sendiri.
Sumber: Bernama