ATM Berjaya Tumpaskan Cubaan Seludup Senjata Api Di Sempadan Malaysia - Thailand


Kota Bharu, 2 September – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan senjata api ketika cuba melepasi sempadan Malaysia – Thailand di Pos Kawalan Pisau Raut, Tumpat, Jumaat lalu.

Dalam serbuan tersebut,pihak ATM berjaya merampas senjata api jenis COLT M16 A1 (5.5 MM), 60 V T Model M16 (5.56MM), M4 (5.56MM) yang dileraikan dan selaras AK47 yang dalam keadaan lengkap.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian 8.30 malam, beberapa anggota tentera yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan telah melihat sebuah perahu dinaiki oleh tiga orang lelaki menghampiru tebing Sungai Golok di sempadan negara.

"Dua daripada tiga suspek yang menaiki perahu itu kemudiannya turun dari perahu dengan memikul sebuah guni.

"Menyedari kehadiran anggota tentera, dua suspek berkenaan melarikan diri dengan berenang ke arah perahu dan meninggalkan guni tersebut di tebing sungai," katanya dipetik melalui Bernama.

Mazlan berkata, hasil pemeriksaan yang dibuat oleh anggota ATM telah menemui beberapa laras senjata api.

"Terdapat senjata api jenis COLT M16 A1 (5.5 MM), 60 V T Model M16 (5.56MM), M4 (5.56MM) yang dileraikan dan selaras AK47 yang dalam keadaan lengkap.

"Kesemua senjata api ini telah berkarat dan dalam keadaan berlumpur tetapi kita dapati ia masih boleh digunakan," tambahnya lagi.

Menurut Mazlan, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai tujuan utama senjata itu diseludup masuk ke Malaysia dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil memberi kerjasama kepada polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil untuk kita mengesan suspek," ujarnya lagi.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 7 (1) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor