Ayse Bukan Saja Ayu Menawan...

Ayse Nur Hikmet
Pertama kali melihat Ayse Nur Hikmet, pasti mata terpesona dengan kecantikan dimiliki wanita muda ini.

Raut wajahnya yang ayu dan pembawaan dirinya yang menyenangkan membuatkan sesiapa tidak jemu memandangnya. 

 Ketepikan soal dangkal yang memuja rupa paras insan ciptaan Tuhan ini. Mereka yang berfikir jauh pasti akan bertanyakan pada diri sendiri, adakah wanita ini mempunyai nilai keperibadian seiring anugerah kecantikan yang diberi?

Mendekati dan berbual dengannya, soalan itu terlerai dan jawapannya sudah pastinya - ya. Ayse punya nilai tersendiri seiring kecantikan semula jadinya. 

Wanita berusia 25 tahun ini berdarah kacukan Turki di sebelah bapa dan Melayu Jawa di sebelah ibunya. 


Walaupun cantik dan sering dipuja, orangnya tetap berbudi bahasa, jujur, peramah, rendah diri dan sopan.

Namun, jangan terkejut di sebalik keayuannya itu, dia sebenarnya tangkas menggunakan pedang dan bekas atlet negara dalam sukan lawan pedang.

Berlawanan dengan sukan lasak itu, Ayse yang berketinggian 175 sentimeter perlu pula tampil feminin dan anggun kerana pada masa sama, dia juga seorang peragawati.

Banyak iklan komersial di kaca televisyen pernah dibintanginya dan pentas peragaan juga menjadi padang permainannya dalam dunia fesyen.

Dia juga pernah dinobatkan sebagai pemenang pencarian model Female Cover 2011 menewaskan peserta model tempatan dan antarabangsa yang lain.

“Saya memang minat bersukan sejak umur lapan tahun. Secara jujurnya saya memang tidak begitu berminat dalam bidang akademik.

“Belajar tetap belajar dan sekolah tetap saya habiskan kerana pendidikan itu penting.

“Namun, saya lebih suka aktiviti luar dan sering bekerja separuh masa untuk mendapatkan duit poket kerana saya tidak mahu meminta-minta pada ibu dan ayah saya.

“Sejak itu saya pasti bidang yang betul-betul menjadi minat saya dan tak lain tak bukan sukan dan perniagaan,” katanya.

Dia mula serius dalam sukan apabila memasuki Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor (kini Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) dan mengkhususkan diri dalam sukan lawan pedang.

“Sukan Komanwel, Sukan SEA dan Kejohanan Lawan Pedang Antarabangsa antara acara sukan yang saya sertai sebagai wakil negara dan ia memberikan banyak pengalaman berharga pada diri saya.

“Sukan mengajar saya menjadi seorang insan yang disiplin, kuat semangat dan patriotik. Lebih 10 tahun membabitkan diri dan lapan tahun sebagai atlet negara mewakili Malaysia, saya kini memperlahankan diri dalam sukan itu kerana ingin memberi fokus kepada keluarga yang baru dibina,” katanya.

Ayse yang mendirikan rumah tangga bersama seorang usahawan tahun lalu baru saja mendapat zuriat pertama, bayi perempuan diberi nama Meral Mikayla berusia sembilan bulan.

Kini Ayse aktif membabitkan diri dalam perniagaan kerana itu juga minatnya sejak remaja.

Dia membuka perniagaan menjual tudung dan pakaian wanita dengan jenamanya sendiri, Meral Mikayla Contemporary, sempena nama cahaya matanya sendiri.

“Saya mendapat ilham menjual pakaian Muslimah selepas bertudung dua tahun dulu.

“Pada mulanya saya menjual secara dalam talian dan di bazar terbuka. Alhamdulillah ia mendapat dapat sambutan baik dan Meral Mikayla ditubuhkan.

“Saya mereka dan menghasilkan sendiri tudung dan baju di bawah jenama Meral Mikayla dan pada tahun lalu membuka butik di The Strand Kota Damansara.

“Kami mempunyai tukang jahit sendiri kerana saya amat mementingkan kualiti barangan kami.

“Rekaannya mementingkan ciri Muslimah, kontemporari dan chic elegan,” katanya.

Ketika ini Ayse sibuk membuat perancangan membuka butik sehenti dinamakan Rumoda yang menghimpunkan beberapa jenama bebas yang menghasilkan rekaan Muslimah moden di bawah satu bumbung.

“Butik konsep Rumoda - singkatan daripada perkataan ‘Rumah Fesyen’ - akan menawarkan pelbagai jenama Muslimah dengan item berkualiti dan cantik belaka di satu butik serba lengkap,” katanya.

Usahawan dan ibu muda ini bersyukur kerana suami dan keluarga sering memberikan sokongan kepadanya membabitkan diri dalam perniagaan kerana mereka memahami minatnya yang mendalam.

“Untuk memotivasikan diri sebagai seorang wanita, ibu dan usahawan, saya sering menjadikan kata-kata semangat daripada penceramah Professor Dr Muhaya Mohamad sebagai dorongan dalam menempuh setiap hari mendatang.

“Impian saya untuk mengembangkan Meral Mikayla Contemporary dan membuka lebih banyak cawangan Rumoda pada masa hadapan dengan izin-Nya.

“Saya harap dapat menjadi contoh yang baik kepada anak saya dan mengamalkan gaya hidup sederhana seperti yang dituntut agama,” katanya. -myMetro