Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz
Bari menempelak Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekiranya enggan
menerima cadangan Pakatan Rakyat (PR) melantik Presiden Parti Keadilan Rakyat
(PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor
kerana perkara tersebut sudah termaktub dalam Deklarasi Prinsip Perlembagaan
1992.
Abdul Aziz berkata, dalam Deklarasi
Prinsip Perlembagaan yang ditandatangani oleh ayahanda Sultan Selangor ketika
itu, baginda seharusnya mengikuti nasihat kerajaan negeri bagi melantik Menteri
Besar sekiranya perkara itu dipersetujui oleh pemimpin yang berjaya menguasai
pentadbiran di Selangor.
Justeru itu, Abdul Aziz berkata,
Sultan Selangor harus akur dengan pemilihan yang dibuat PR dan perlu melantik
Dr wan Azizah sebagai Menteri Besar baharu, sekirannya enggan berbuat demikian
ia jelas melanggar perlembagaan serta memalukan baginda sendiri sebagai Sultan
Selangor.
"Kandungan tersebut mengikat
baginda hingga hari ini. Tiada kesan undang-undang dalam dokumen tersebut,
tetapi secara moralnya akan memalukan baginda jika mengabaikannya.
"Jadi di Selangor, Sultan
perlu melantik (Dr Wan Azizah). Meminta lebih nama serta enggan melantik beliau
adalah membelakangi deklarasi 1992 dan lebih penting lagi, (membelakangi)
perlembagaan itu sendiri," katanya lagi.
Tambah Abdul Aziz lagi, deklarasi
tersebut ditandatangani sebelum ini bersama enam Sultan lain.
Merujuk kepada laporan sebelum
ini, Sultan Selangor telah menangguhkan peletakan jawatan Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan meminta PR menghantar dua nama calon
baharu selain Dr Wan Azizah bagi mengantikan Ahli Undangan Negeri (ADUN)
Pelabuhan Klang itu sebagai peneraju Kerajaan Negeri Selangor setelah dia
dipecat oleh PKR baru-baru ini.
Daripada sumber setiausaha sulit
Sultan Selangor, peruntukan mengikut Perkara LI (1), Perkara LIII (2) (a), (4)
dan LV (2) (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Sultan Selangor
mempunyai kuasa dalam menentukan pelantikan Menteri Besar dengan kuasa budi
bicara mutlak selepas mendapat nasihat atau kepercayaan majoriti Ahli Undangan
Negeri (ADUN).
"Sultan Selangor menitahkan
agar setiap pemimpin parti PAS, PKR, dan DAP mencadangkan lebih dua nama
daripada parti-parti PR sebagai calon MB bagi memudahkan baginda menentukan
calon berkelayakan dan seterusnya memberi perkenan melantik mana-mana calon
yang difikirkan layak." ujar sumber tersebut.
Sebelum ini, PR telah
mengemukakan nama Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal bagi mengantikan Abdul
Khalid sebagai Menteri Besar walaupun parti PAS telah menghantar nama lain selain
Presiden PKR iaitu Timbalan PKR, Azmin Ali sebagai calon kedua menjawat jawatan
tersebut. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor