PKR disifatkan bertindak "flip-flop" dan membuat "pusingan U" apabila membuat keputusan untuk merestui pelantikan ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid yang digulingkan.
Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini bertegas hanya isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, sahaja yang wajar menjadi Menteri Besar Selangor, turut membuat "pusingan 360 darjah" berhubung pelantikan tersebut.
Azmin semalam dalam reaksi pelantikannya sebagai Menteri Besar yang baharu membuktikan kegoyahan pendirian partinya terhadap pelantikan tersebut.
"Parti terima sebulat suara bersetuju pencalonan saya sebagai menteri besar yang baharu.
"Saya berterima kasih kepada presiden dan rakan-rakan PKR kerana sebulat suara memilih saya sebagai calon menteri besar bagi pihak PKR," kata Azmin yang dipetik dari Malaysian Insider.
KedahNews.com pada 21 September lalu menyiarkan kenyataan PKR yang menafikan Anwar memberi restu pada Azmin untuk mengenepikan isterinya sebagai Menteri Besar Selangor, sekaligus membayangkan keputusan rasmi parti tersebut.
"Saya ingin menegaskan pendirian rasmi PKR dalam isu pelantikan Menteri
Besar Selangor yang baharu tidak berubah," tegas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.
Selain itu, pada tarikh yang sama, sebuah NGO pro-PKR bernama "Jingga 13" turut menegaskan pendirian mereka bahawa Azmin tidak layak untuk menjawat jawatan Menteri Besar Selangor berbanding isteri Anwar yang dikatakan memiliki majoriti sokongan.
"Jingga 13 tetap berpendirian menyokong Dr Wan Azizah sebagai calon
menteri besar baharu kerana (beliau) telah pun memenuhi segala syarat
yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor
termasuk mendapat sokongan majoriti 30 Adun Selangor," kata NGO tersebut.
PKR sebelum ini tidak mempedulikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan mencalonkan Wan Azizah sebagai calon tunggal Menteri Besar yang kemudiannya mendapat tentanga hebat dari Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Difahamkan bahawa Sultan Selangor turut enggan menerima cadangan PKR tersebut melalui sepucuk surat menegur sikap parti itu yang seolah-olah tidak faham dengan titah Sultan yang mahukan lebih dari dua nama calon.
Biarpun Anwar membidas kembali pihak Istana kononnya bertindak tidak mematuhi undang-undang tubuh negeri, pihak Istana sekali lagi bertitah memberi amaran pada suami Wan Azizah supaya tidak mengelirukan rakyat dengan fakta yang tidak tepat berhubung tuduhan tersebut. -KedahNews.com