Azmin Serah Senarai Exco Pada Sultan Selangor Hari Ini

Menteri Besar Selangor yang baharu mengumumkan senarai nama barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang terpilih akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan baginda, hari ini.

Menurut Azmin Ali, beliau telah mengadakan perbincangan dengan para pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat semalam bagi memutuskan senarai berkenaan.

Azmin menjelaskan bahawa senarai nama yang dibawanya merupakan satu bentuk cadangan yang telah diputuskan dalam pertemuan kedua pemimpin ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat setelah mengadakan pertemuan pertama sehari sebelumnya.

Menteri Besar yang dilantik dalam suasana penuh kontroversi yang menjejaskan imej Pakatan Rakyat itu mengumumkan perkara tersebut ketika ditemui di Bilik Gerakan Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam. -KedahNews.com