Ketua Koordinatornya, Fariz Musa berkata, kemelut jawatan tertinggi
dalam pentadbiran negeri Selangor itu akan berpanjangan sekiranya
mana-mana calon selain Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
dilantik untuk mengisi jawatan tersebut.
"Jingga 13 tetap berpendirian menyokong Dr Wan Azizah sebagai calon
menteri besar baharu kerana (beliau) telah pun memenuhi segala syarat
yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor
termasuk mendapat sokongan majoriti 30 Adun Selangor," katanya dalam
sidang akhbar di sini hari ini.
Fariz yang juga bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR berkata demikian
ketika mengulas laporan muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Inggeris
hari ini bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah
berkenan menerima menghadap Mohamed Azmin; Pesuruhjaya Pas, Iskandar
Abdul Samad dan anggota Exco kerajaan Selangor daripada Pas, Dr Ahmad
Yunus Hairi secara berasingan pada awal minggu ini.
Akhbar itu melaporkan pertemuan tersebut adalah bagi membolehkan
baginda menilai kesesuaian mereka untuk memegang jawatan tertinggi dalam
pentadbiran Selangor itu dan merupakan sebahagian daripada
langkah-langkah akhir untuk memutuskan siapakah calon terbaik yang mampu
menggantikan Abdul Khalid.
Nama Mohamed Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa dan Iskandar yang
juga Adun Cempaka disebut-sebut sebagai calon yang dikatakan bakal
mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor yang ke-15 itu.
Ini susulan pengesahan daripada pihak Istana Selangor pada Khamis
lepas, bahawa Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu
akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani semalam
dilaporkan berkata nama menteri besar yang baharu akan diumumkan
selewat-lewatnya Isnin ini bergantung kepada perkenan Sultan
Sharafuddin. - Bernama