Sejak kebelakangan ini imej seorang bayi dengan wajah mengerikan tersebar di laman sosial.
Dikhabarkan, bayi ini merupakan mangsa gigitan semut Charlie atau di negara ini biasa dipanggil semut semai atau semut kayap.
Semut jenis ini yang banyak terdapat di negara lembab beriklim panas
tropika termasuk Malaysia amat berbahaya kerana bisa dikeluarkannya
boleh menyebabkan sakit kulit yang amat serius.
Walau pun bahaya semut Charlie adalah benar, namun pemeriksaan kami
mendapati terdapat kesalahan fakta pada berita yang disebarkan ini.
Pertama, semut Charlie tidak menggigit atau menyengat. Sebaliknya ia
mengeluarkan cairan berbisa apabila rasa terancam ketika bersentuhan
dengan sesuatu permukaan seperti kulit manusia.
Cairan ini amat berbahaya kerana mampu jadi penyebab sakit kulit yang
dahsyat, malah ia mempunyai tahap keracunan 12 kali lebih tinggi
daripada bisa ular tedung!
Oleh sebab itu jangan sesekali menampar atau memicit semut Charlie
jika ia merayap pada kulit sebaliknya tiup hingga ia jatuh atau ambil
serangga ini secara hati-hati tanpa menggunakan jari secara langsung.
Semut Charlie biasanya terdapat di kawasan pertanian terutama
bendang, ladang kacang soya, padang dan hutan. Namun bagi sesetengah
penuntut universiti, mereka tentu mengetahui tentang semut ini yang ada
kalanya mengunjungi mereka di kampus.
Dan satu lagi fakta yang perlu diketahui, semut Charlie sebenarnya bukanlah semut tetapi sejenis KUMBANG.
Kembali kepada kisah bayi digigit semut Charlie yang tersebar,
ternyata dakwaan ia digigit tidak benar kerana serangga ini tidak
menggigit.
Kedua, rupa bayi ini pada kami lebih menyerupai sejenis penyakit
kelainan genetik yang diperturunkan dalam keturunan iaitu neurofibroma.
Sebagaimana kita sedia maklum, sudah banyak kes cerita tidak benar
disebarkan di media siber menggunakan gambar yang diceduk dari luar
negara.
Sumber: Mynewshub.cc