Seorang penceramah bebas pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah
Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut
bagi menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui
laman sosial Facebook dua tahun lepas.
Wan Ji Wan Hussin, 32, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat
Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan
Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5 di sini pada 10 pagi, 5 Nov
lepas.
Wan Ji didakwa mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948 dan boleh
dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda
maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya,
jika sabit kesalahan.
Peguam mewakili tertuduh, Radzlan Jalaludin memohon mahkamah
menetapkan wang jaminan RM2,000 atas alasan anak guamnya tidak
berkemampuan kerana perlu menanggung empat orang anak.
Hakim Slamat Yahya membenarkan Wan Ji diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Okt untuk sebutan kes.
Hakim turut memerintahkan tertuduh, yang juga merupakan bekas anggota
Jawatankuasa PAS Selangor menyerahkan pasportnya, namun Wan Ji mendakwa
dokumen berkenaan telah hilang.
Berikutan itu, mahkamah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Imigresen untuk menyekat tertuduh supaya tidak ke luar negara.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Selangor Mohd Azari Harun. Wan Ji membayar wang jaminan itu. -Mstar