Bersara Dari Politik Jika Tidak Boleh Dikritik - Tun M

Ahli politik yang tidak tahan dikritik patut berhenti berkhidmat, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 24 September, 2014.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan kepada semua pihak agar behenti menjadi ahli politik sekiranya mereka tidak dapat menerima sebarang kritikan daripada orang lain.

Tegas Tun M, kebanyakkan ahli politik pada masa kini dilihat begitu cepat melatah sehingga sanggup membawa isu yang dikaitkan ke mahkamah sedangkan setiap kritkan membawa banyak manfaat kepada mereka.

"Sebagai ahli politik saya tidak hanya suka orang memuji saya, namun saya mahu orang mengkritik saya," katanya dipetik Malaysia Insider kepada pemberita selepas menghadiri program Kepimpinan Asas Perdana CEO 2014 di Kuala Lumpur.

Dalam satu laporan sebelum ini, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng telah bertindak membuat laporan polis terhadap Tun M dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang didakwa melanggar Akta Hasutan 1948.

Menurut laporan tersebut, Lip Eng menyifatkan kenyataan Tun M melalui blognya pada 11 April bertajuk ‘ Gelang Patah’ mempunyai usur hasutan kerana menuduh Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menghasut orang Cina supaya menentang orang Melayu di Johor.

Merujuk kepada laporan tersebut, Tun M menyifatkan tindakan itu menunjukkan mereka sebenarnya ahli politik yang tidak mempunyai keberanian untuk berbahas bagi menjawab segala kritikan tersebut.

"Sekiranya seorang ahli politik bawa sesuatu kes ke mahkamah hanya kerana dia dihentam pihak lawan, dia bukan seorang ahli politik. Ahli politik yang sebegitu, takut untuk berbahas," katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya ditahan oleh polis berhubung laporan tersebut.

“Saya cuma rakyat biasa sekarang. Jika saya perlu ditahan mengikut undang-undang, silakan,” katanya. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor