SEDEKAH merupakan pemberian yang diberikan oleh seseorang kepada
insan yang memerlukan. Ia dilakukan untuk meraih keredaan dan ganjaran
pahala yang dijanjikan oleh Allah taala. Sedekah juga menjadi salah
satu amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagaimana
amalan-amalan sunat yang lainnya.
Islam bukan sahaja mengajar kita mendekatkan diri dengan-Nya melalui
amal ibadah yang khusus seperti solat dan berpuasa. Islam juga mendidik
kita mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amal kebaikan kepada
sesama manusia antaranya dengan bersedekah. Allah SWT menyeru
hamba-hamba-Nya untuk bersedekah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254)
Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan maksud ayat ini bahawa
Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk menginfakkan sebahagian
daripada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada jalan kebaikan. Ini tidak
lain agar ia menjadi pahala sedekah itu tersimpan di sisi Allah SWT.
Ini kerana apabila tibanya hari akhirat kelak, semua harta yang melimpah
ruah tidak ada nilainya lagi. Seseorang tidak mungkin dapat menebus
kesalahan dirinya ketika hidup di dunia meskipun dengan harta yang
memenuhi bumi.
Nilai pemberian
Sedekah tampak remeh di mata sebahagian masyarakat namun di sisi
Allah ia amalan yang begitu besar ganjarannya. Mungkin sahaja nilai
pemberian kita itu kelihatan kecil di mata, namun ia mampu membuahkan
pahala yang tak terhitung banyaknya.
Allah SWT menyebutkan secara
ringkas gambaran pahala mengeluarkan harta di jalannya dengan firman-Nya
yang bermaksud:
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261)
Kadang-kala keengganan untuk bersedekah atau mengeluarkan harta di
jalan Allah bukan disebabkan kerana tidak punya harta tetapi disebabkan
perasaan takut harta yang dimiliki berkurang, rugi dan pelbagai sangkaan
buruk yang dibisikkan oleh syaitan.
Gambaran ini bertepatan dengan
firman Allah SWT yang bermaksud:
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 268)