Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan bahawa pihaknya akan terus mencari penulis blog seks, Alvin Tan sehingga ke lubang cacing kerana menghina kepimpinan negara.
Khalid berkata, beliau tidak akan memaafkan tindakan Alvin yang semakin biadab apabila telah memuat naik status dan gambar di laman sosial Facebook miliknya yang dilihat cuba memalukan beberapa pemimpin negara.
"Dia (Alvin) ingat dia boleh lari. Bagaimanapun, setiap negara ada peraturan dan kita akan cari dia hingga ke lubang cacing," katanya yang dipetik dari Utusan.com.my.
Khalid juga berkata, siasatan terhadap kes tersebut sudah dimulakan dan beliau turut memberi amaran keras kepada mereka yang mengaibkan pemimpin negara menggunakan media sosial.
"Tiada maaf lagi kepada sesiapa yang menggunakan rangkaian media bagi menghina dan menghasut," katanya lagi.
Alvin Tan atau nama sebenarnya Tan Jye Yee dilaporkan sedang berada di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dan dipercayai menghilangkan diri selepas Mahkamah Sesyen membenarkan penyerahan sementara pasportnya atas alasan ingin pergi ke Singapura bagi tujuan penggambaran sebuah dokumentari.
Bulan lepas sebahagian wang jaminannya turut dilucutkan berhubung tuduhan mempersendakan umat Islam dan bulan Ramadan bersama pasangannya Vivian Lee. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com